Datuk Zakaria Arshad akan meneruskan tugasnya di Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (GP/CEO) pada 16 Oktober ini, selepas diminta bercuti sejak 6 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pengarah FGV berkata siasatan sudah dilakukan dengan proses dalaman sewajarnya yang konsisten dengan permintaan Menteri Kewangan (Diperbadankan) supaya proses siasatan dilaksanakan secara integriti, saksama dan menjamin tadbir urus korporat.

“Selepas mengambil kira program transformasi semasa FGV dan komitmen serta jaminan GP/CEO untuk menyelesaikan hutang tertunggak Safitex Trading LLC, Kementerian Kewangan (Diperbadankan) mahu Zakaria kembali sebagai GP/CEO FGV,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid, mengulangi komitmennya untuk memulih dan membawa syarikat ke tahap lebih tinggi di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi pada masa ini.