Ahli Majlis tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) beramah mesra dengan ahli Persatuan Pesara Malaysia Daerah Besut pada majlis Temu Murni di Masjid Hadhari Jertih. – Foto Mohamad Ishak

Tun M ikut telunjuk bekas musuh – Idris Jusoh

 

JERTIH: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, terjebak dengan strategi parti sekutunya dalam pakatan pembangkang yang mahu melihat orang Melayu di negara ini berpecah-belah.

Ahli Majlis tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata beliau kasihan melihat bekas Perdana Menteri itu yang terikut-ikut dengan telunjuk pemimpin parti yang pernah dimusuhinya itu dalam mengatur strategi politik menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, katanya, Dr Mahathir dilihat akan menjadi Perdana Menteri boneka dan terpaksa mengikut telunjuk orang lain jika pakatan pembangkang memenangi PRU-14.

Idris berkata, selepas gagal memujuk PAS untuk bersama-sama dalam pakatan berkenaan, DAP begitu mudah mempengaruhi Dr Mahathir untuk menyokong perjuangan mereka, sekali gus memecah-belahkan orang Melayu.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, berkata sikap PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP patut dipuji kerana sedar bekas parti sekutu mereka itu bukan berjuang untuk Melayu dan Islam.

“Ramai orang Melayu hairan dan terkejut dengan keputusan Dr Mahathir yang sanggup bersama-sama DAP, sebuah parti yang mempunyai ideologi yang tidak sesuai diamalkan di negara ini,” katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Temu Murni dengan 300 ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Besut di Masjid Hadhari Jertih, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang Melayu supaya jangan mudah terjebak dengan strategi politik DAP yang menggunakan bekas Dr Mahathir untuk mempengaruhi rakyat.

Katanya, usaha melantik semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri juga hanyalah helah untuk mengaburi orang Melayu.