Kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mendakwa niat sebenar tuntutan Malaysia terhadap semakan keputusan ke atas Pulau Batu Puteh adalah kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap sebagai tuduhan tidak bertanggungjawab yang hanya boleh merosakkan hubungan baik Malaysia dengan Singapura.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan pemimpin Singapura itu kerana memperlekeh permohonan Malaysia untuk semakan keputusan terhadap tuntutan tersebut.

Katanya, Malaysia telah memfailkan permohonan berkenaan pada 2 Februari 2017 berdasarkan penemuan fakta baharu melalui tiga dokumen dalam Arkib Negara United Kingdom pada 4 Ogos 2016.

“Keputusan membuat permohonan selepas penemuan fakta baharu adalah hak yang diberikan dan dipatuhi Malaysia dan permohonan yang dibuat adalah untuk pentafsiran penghakiman bukannya dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh.

“Malah semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, PRU-14 masih belum diumumkan, Parlimen Malaysia sendiri masih belum dibubarkan sehingga ke hari ini iaitu lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain.

“Namun tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik,” katanya.