Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kejayaan menganjurkan Dialog ASEAN-Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan pihak Kementerian Luar, acara perbincangan pelbagai hala berkenaan diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di ibu kota Filipina itu, hari ini.

Malaysia merupakan negara penganjur dialog tersebut yang diadakan sempena 40 tahun perhubungan rantau ini dengan negara kuasa dunia itu dan juga ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Najib atas kecemerlangan penganjuran majlis dialog ini dan saya sangat menghargainya. Anda menyelaraskannya dengan baik dengan kami,” katanya.

Trump berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena dialog tertutup tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di sini yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden Filipina, Rodrigo Dutarte.

Fokus dialog tersebut antara lain akan membincangkan mengenai kejayaan hubungan 40 tahun kedua-dua rantau, isu berbangkit seperti pertikaian Laut China Selatan, keganasan, ekonomi digital dan rancangan masa depan.

Ini merupakan penyertaan kali pertama Trump dalan persidangan serantau tersebut sejak dilantik sebagai presiden pada 20 Januari lalu bagi menggantikan pentadbiran Barack Obama. – Agensi/Mynewshub