TIDAK SEMUA MEREKA YANG BEKERJA DI MALAYSIA DIKENAKAN CUKAI

 

Secara umumnya, mereka yang meraih pendapatan daripada pekerjaan atau perniagaan yang dijalankan di Malaysia sudah tentu tertakluk dengan Akta Cukai Pendapatan yang telah tersedia.

Begitu juga cukai dikenakan apabila pendapatan yang diperolehi daripada individu bukan bermastautin melalui pekerjaan atau perkhidmatan seterusnya memperolehi dan menerima pendapatan dari Malaysia.

Ini kerana individu bukan pemastautin untuk tujuan cukai jika berada di Malaysia kurang daripada 182 hari untuk satu tahun kalendar, tanpa mengira apa jua kerakyatan atau warnagera akan dikenakan cukai.

Kadar cukai adalah di antara 10% hingga 28% bergantung kepada jenis-jenis pendapatan yang diperolehi antaranya perniagaan, sewa, penghibur awam, royalti dan lain-lain yang berkaitan.

Namun begitu ada juga individu yang bukan pemastautin yang mempunyai pendapatan tetapi tidak dikenakan cukai kerana sebab-sebab tertentu.

Ini boleh dijelaskan seperti individu bukan pemastautin tidak akan dikenakan cukai jika mereka bekerja di Malaysia kurang daripada 60 hari dalam masa setahun.

Begitu juga apabila mereka yang sudah berumur 55 tahun dan menerima pencen daripada penggajian di Malaysia turut tidak dikenakan cukai.

Individu bukan pemastautin juga tidak perlu membayar cukai apabila menerima faedah bank hasil daripada simpanan yang dilakukan di bank-bank yang berdaftar di Malaysia.

Selain itu, jika pendapatan yang diperolehi oleh individu bukan pemastautin dari hasil dividen yang dikecualikan cukai juga tidak perlu membayar cukai atas pendapatan tersebut.

Bagi memeriksa sama ada pendapatan yang diterima patut dibayar cukai, individu bukan pemastautin boleh melayari Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau berhubung dengan Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436.