Itu ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap dalam satu majlis di Langkawi semalam. Sebaris ayat itu sudah cukup menggambarkan istimewanya Langkawi di hati beliau.

Ia tentunya bukan retorik tetapi dibuktikan melalui pelbagai projek pembangunan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di pulau peranginan negeri itu sejak sekian lama.

Biarpun pucuk pimpinan negara berubah namun pulau kelahiran Mahsuri itu terus dimaju dan limpahan ekonominya dirasai oleh penduduk di situ juga.

Jelasnya, Langkawi istimewa di hati Perdana Menteri itu melalui pelbagai projek pembangunan yang dijayakan terutama pelaksanaan Blueprint Pelancongan Langkawi yang dilancarkan beliau pada Disember 2011.

Ia satu pelan komprehensif terbaik menggariskan 14 inisiatif bagi melonjak kedudukan pulau itu dengan matlamat Langkawi menjadi antara 10 pulau dan eko-pelancongan terbaik.

Tiada Alasan Kalih BN Di Langkawi

Ringkasnya pencapaian daripadan pelan itu, pelancong ke Langkawi bertambah dari saban tahun.

Kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia sebelum ini juga menunjukkan bahawa purata perbelanjaan pelancong ke Langkawi bagi tempoh penginapan selama tiga hingga empat malam terdapat peningkatan iaitu sebanyak RM1,500 bagi pelancong domestik dan RM3,100 bagi pelancong antarabangsa.

Lain-lain indikator yang turut menunjukkan pencapaian terhadap pelaksanaan Blueprint Pelancongan Langkawi juga adalah peningkatan pengangkutan udara yang bertambah baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Kejayaan Blueprint Pelancongan Langkawi tidak terhenti di situ apabila diteruskan kepada Fasa 2 pada 2016.

Orang Langkawi bertuah kerana setiap pembangunan yang dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara turut melibatkan infrastruktur serta kemudahan yang dinaik taraf sekali gus memberi kesenangan kepada penduduk Langkawi.

Pembangunan terus kepada penduduk Langkawi ditunjukkan melalui projek perumahan rakyatnya, naik taraf infrastruktur termasuk bekalan air dan elektrik.

Demikian peri penting Langkawi kepada kerajaan BN, khususnya Perdana Menteri. Pelbagai pembangunan yang dilakukan di pulau ini membuktikan pengundi kawasan ini membuat pilihan terbaik apabila berterusan memilih wakil rakyat BN untuk berkhidmat di sini.

Langkawi adalah kubu kuat BN dan selayaknya ia kekal begitu walaupun Pakatan Harapan diketuai DAP turut mengintai peluang di sini dengan menguar-uarkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di Parlimen ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Di sebalik keghairahan pembangkang dengan tindak tanduk menjual nostalia dan hasutan untuk mengumpan pengundi di Langkawi, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkeyakinan BN mampu mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat dan Kuah yang disandang parti sejak sekian lama.

Tentu alasan bekas Perdana Menteri itu banyak berjasa kepada Langkawi tidak wajar, memandangkan ketika ini Najib yang menerajui kerajaan turut melakukan perkara yang sama.

Sesuatu yang pasti Langkawi dan penduduknya memerlukan BN yang komited membangunkan pulau itu bukan pembangkang yang menyandarkan kisah-kisah nostalgia untuk mengumpan mereka.