Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita sebuah kilang memproses habuk kayu, yang dikatakan beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata tindakan itu susulan syor dikeluarkan pihaknya kepada JAS, ketika melakukan serbuan bersepadu terhadap kilang terbabit pada Khamis lalu.

“Saya difahamkan, JAS Pulau Pinang sudah dimaklumkan mengenai perkara itu hari ini dan mereka akan mengambil tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat memaklumkan semua perincian mengenai isu ini kerana perbincangan mengenainya masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Jumaat lalu, EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan dua beranak yang juga pengarah dan pengurus sebuah kilang habuk kayu ditahan SPRM, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Azam berkata, pihaknya juga akan memanggil Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Arifin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rozali Mohamud, untuk proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Katanya, ia bagi membantu melengkapkan siasatan terhadap kilang haram terbabit kerana Guan Eng dan Dr Norlela didapati ada mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung operasi premis terbabit sebelum ini.

“Mereka akan dipanggil secepat mungkin untuk proses ini. Selain itu, SPRM turut melihat keperluan memanggil beberapa EXCO kerajaan negeri yang lain untuk tujuan sama.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesesuaian masa kerana SPRM juga sedang meneliti beberapa aspek lain dalam kes ini. Kita juga sudah merakam percakapan tiga individu daripada MPSP, selain menahan tiga suspek,” katanya.

Sementara itu, pasukan penyiasat SPRM sekali lagi melakukan pemeriksaan terhadap rumah, pejabat dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu semalam.

Sumber berkata, pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari itu, bertujuan mengumpul beberapa dokumen tambahan bagi membantu siasatan terhadap operasi kilang pemprosesan habuk kayu haram yang terletak di Sungai Lembu dekat Penanti.

Kelmarin, Boon Poh, 65, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang, selepas lima pegawai suruhanjaya itu menyerbu pejabat EXCO berkenaan di Tingkat 53 Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), kira-kira jam 11.30 pagi.