lim guan eng banglo 2Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, tuduhan bahawa beliau tidak tahu nilai rumah banglo yang dibelinya di Jalan Pinhorn adalah satu “pembohongan BN”.

Baca: Harga Rumah Sekitar Banglo Mewah Lim Guan Eng

Lim menjelaskan apabila beliau berkata beliau tidak tahu, beliau telah secara khusus menjawab pertanyaan Umno mengenai sama ada hartanah itu bernilai RM6.5 juta.

“Satu lagi pembohongan BN adalah kenyataan saya bahawa saya tidak tahu nilai rumah saya walaupun saya menandatangani Perjanjian Jual Beli dan membayar duti setem.

“Saya telah menjawab soalan mengenai sama ada nilai rumah saya adalah RM6.5 juta, seperti yang didakwa oleh Umno.

“Saya menjawab dengan jujur ​​- saya tidak tahu sama ada rumah saya bernilai RM6.5 juta – kerana saya adalah seorang ketua menteri dan bukan ejen hartanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Lim berkata penjelasan beliau telah “diputarbelitkan”.

Menurut peraturan urus niaga hartanah, pembeli dikehendaki membayar duti setem bagi memorandum pemindahan dan ini dikira berdasarkan harga beli atau nilai pasaran hartanah itu, yang mana lebih tinggi.

Oleh itu, pengkritik Lim berkata ketua menteri itu mungkin perlu membayar duti setem berdasarkan nilai harta yang lebih tinggi daripada harga pembelian RM2.8 juta, dan oleh itu akan tahu nilai yang tepat.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim mendakwa Lim telah mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bahawa harta itu bernilai RM4.27 juta berdasarkan satu salinan akuan penilaian pemindahan harta yang diperolehi.

Lim berkata tuduhan bahawa beliau telah membeli rumah banglonya di bawah harga pasaran adalah sebahagian daripada konspirasi serangan peribadi terhadapnya.

Beliau berkata konspirasi BN untuk mencemarkan namanya berhubung pembelian rumahnya melalui pembohongan dan separuh benar, double standard dan malah salah guna kuasa, adalah satu percubaan terang-terangan untuk mewajarkan, untuk menutup atau mengalihkan perhatian daripada skandal kewangan BN, seperti skandal 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion dan yang terbaru penyelewengan RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan.

Skandal BN, tambahnya, telah menyebabkan kerugian dana awam dan menjejaskan ekonomi negara dengan kejatuhan nilai ringgit, manakala pembelian rumahnya telah menunjukkan tahap tertinggi ketelusan dan akauntabiliti, dengan amalan tender terbuka dan malah membuka rumahnya untuk diperiksa oleh media.

Lim turut menjawab dakwaan bahawa pembelian banglo beliau dikaitkan dengan jualan tanah di Taman Manggis, dengan menyatakan bahawa penjual banglo itu tidak mempunyai kaitan terus dengan pembeli tanah itu.

Beliau berkata penjualan tanah Taman Manggis kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd dilakukan melalui tender terbuka dan dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada jawatankuasa tender itu.

“Atas sebab ini, kerajaan negeri dan saya sendiri tidak mempunyai apa yang hendak disembunyikan dan mengalu-alukan siasatan SPRM.

“Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan yang dijalankan oleh SPRM, yang melawat pejabat saya semalam,” katanya.