Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan ra­suah melibatkan Ketua PKR Cabang Sungai Besar, Mohd. Fauzi Ahmad dan Ketua PKR Cabang Sabak Bernam, Abu Talib Bujang berkaitan tender penganjuran Ekspo Raya dan Bazaar Ramadhan 2016 di Su­ngai Besar, Selangor.

Pengerusi Nadi Rakyat Sungai Besar, Khairulnaem Abu Samah berkata, dakwaan tersebut seperti yang didedahkan oleh Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin baru-baru ini perlu disiasat kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor.

“Korupsi didakwa berlaku de­ngan Mohd. Fauzi selaku Ahli Majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berada dalam mesyuarat majlis yang meluluskan projek untuk syarikat yang dikatakan ada kepentingan keluarganya.

“Abu Talib selaku Ahli Majlis (Perlesenan) MDSB didakwa menerima suapan bagi menyokong syarikat berkepentingan Mohd. Fauzi memperoleh projek berkaitan bazar Ramadan dan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas mengemukakan laporan berkaitan dakwaan rasuah ber­kenaan di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Menerusi entri dalam blog chegubard.blogspot.my bertarikh 5 Februari lalu, Badrul Hisham mendakwa perbuatan rasuah itu berlaku ketika Mohd. Fauzi dan Abu Talib menjadi Ahli Majlis MBSB.

Khairulnaem turut mempersoalkan sama ada kes pe­nye­le­we­ng­an itu menjadi punca tapak perniagaan disewa mahal kepada peniaga kerana penganjur mungkin terpaksa membayar rasuah bagi memperoleh hak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau turut menggesa SPRM me­manggil Badrul Hisham untuk membantu siasatan berhubung dak­waannya tentang isu rasuah di Selangor.

Sementara itu, di SHAH ALAM, Mohd. Fauzi mengesahkan beliau telah disiasat berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender tersebut.

“Kes ini kes tahun lalu dan saya pun telah dipanggil untuk soal siasat. Namun, sehingga kini tiada perkembangan dan kes itu masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Abu Talib yang turut dikaitkan dengan dakwaan sama gagal dihubungi.