Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan beliau tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam satu status di Facebooknya, beliau menolak untuk bertanding di kawasan itu jika ada tawaran walaupun yakin Parlimen itu boleh dimenangi semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada penyandangnya ketika ini, Ahli Parlimen Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ketika PRU13, beliau bertanding di bawah parti PKR.

“Ramai yang tanya saya adakah saya akan terima tawaran untuk bertanding di Parlimen Tun Razak? Jawapan saya tidak, walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR,” katanya.

Ada desas desus cerita, bahawa Shahrizat akan bertanding di kawasan Parlimen itu yang sebelum ini diwakili secara tradisi oleh wakil dari MCA.

Ini kerana, UMNO mahu meletakkan calon dari parti itu kerana akan mendapat besar dari masyarakat Melayu di kawasan berkenaan.

Calon dari MCA kalah kepada Abdul Khalid, dengan majoriti 11,832 undi.

Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas keluar dari PKR dan difahamkan tidak akan mempertahankan kedudukannya di situ pada PRU-14.

Bulan lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus, mempelawa Shahrizat bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Shahrizat adalah ahli UMNO Kepong yang menceburi arena politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Kepong Baru. Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995.

Sejak itu, Shahrizat yang menjadi calon payung terjun, memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai sekali gus, menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO.

Pada 1995, beliau mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, yang mewakili Parti Semangat 46 dengan majoriti 13,361 undi.

Pada PRU 1999, Shahrizat menumbangkan calon PKR, Zainur Zakaria, dengan majoriti 1,417 undi dan menang besar pada PRU 2004 mengalahkan bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Osman, yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 15,288 undi.

Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU 2008. Pada PRU-13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan.