KUALA LUMPUR – Sembilan nahas melibatkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah direkodkan sejak 1996.

Pada 1996, sebuah daripada pesawat pejuang itu terhempas dan meletup di luar kawasan Lapangan Terbang Labuan . Dua juruterbangnya terselamat dalam nahas itu.

Dua tahun kemudian pada 10 Sept, 1998, juruterbang Hawk 208 terbunuh selepas pesawat pejuang itu terhempas di Kuala Betis, Gua Musang, kira-kira 200 km dari Kota Bharu, Kelantan.

Pada 2 Okt, 2000, pesawat Hawk 208 tergelincir dari landasan semasa mendarat di Labuan. Juruterbangnya terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Di Kuantan pada 2003, dua juruterbang TUDM terkorban apabila pesawat pejuang Hawk terhempas di Laut China Selatan, berhampiran Pantai Sepat, Pahang.

Kapten Khairul Hazrin Kamaruddin, 28, dan Kapten Ashraff Che Hussin, 30, sedang melakukan latihan rutin dengan pesawat Hawk 108 dari pangkalan udara TUDM Kuantan semasa nahas itu berlaku.

Pada 2005, pesawat Hawk 208 yang dalam perjalanan ke pangkalan udara Labuan dari Butterworth terhempas di Pulau Buah, Labuan. Juruterbangnya terkorban.

Pada 31 Mei, 2006, Mejar Mohammad Rohaizan Ab Rahman ditemukan mati selepas pesawat pejuang Hawk 208 dikendalikannya terhempas di Laut China Selatan, 3km dari Kampung Lanjut, Pahang, semasa menjalani latihan penerbangan.

Tidak sampai sebulan selepas tragedi itu, sebuah lagi pesawat Hawk terpaksa melakukan pendaratan kecemasan semasa latihan di Pahang pada 23 Jun. Kedua-dua juruterbangnya selamat.

Susulan dua insiden itu, TUDM telah menggantung perkhidmatan pesawat pejuang Hawk buatan Britain itu.

Selepas penggantungan itu ditarik balik, sebuah pesawat Hawk 208 terhempas sejurus berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada 4 Mei 2007.

Juruterbangnya selamat dan tidak mengalami kecederaan serius selepas menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi lenting pesawat.

TUDM membeli 28 buah pesawat pejuang Hawk pada 1990 daripada United Kingdom dan diserahkan dari Januari 1994 hingga September 1995.

Pasukan tentera udara itu memiliki dua jenis pesawat Hawk iaitu 108 digunakan untuk latihan manakala versi yang lebih canggih daripada 108, Hawk 208 ialah pesawat tempur udara.

Hawk memiliki kelajuan maksimum 1.2 Mach (1,481 kilometer sejam) pada altitud maksimum atau 1,037 kilometer sejam pada paras laut dengan jarak tempur 617 kilometer.

Semasa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Mac 2013, lima pesawat Hawk dan tiga pesawat Boeing F/A 18D Hornet dikerahkan untuk melakukan serangan udara ke atas tempat persembunyian pengganas. 

– BERNAMA