Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan telah menghantar surat kepada DAP untuk meminta mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, surat tersebut telah dihantar hari ini kepada DAP.

“ROS telah menghantar surat tersebut pagi ini kepada pihak DAP dan sebarang maklumat lanjut perlu dirujuk semula kepada parti tersebut,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menerusi Twitternya bahawa DAP telah menerima surat tersebut daripada ROS hari ini.

Baru-baru ini, ROS telah mengeluarkan arahan sedemikian kerana jabatan itu berpendirian bahawa DAP perlu mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.