JOHOR BAHRU – “Saya melakukannya kerana rakyat sendiri yang mahukan saya datang,” titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda seterusnya bertitah, rakyat mahukan Tunku Ismail menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memperbaiki bola sepak Malaysia.

Titah baginda lagi, ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga mahu baginda menerima amanah itu bagi melakukan perubahan.

“Apa sahaja yang saya lakukan, saya melakukannya untuk rakyat. Ia bukan untuk diri saya, sebagaimana semua tahu bahawa bola sepak bukanlah periuk nasi saya.

“Inilah satu-satunya sebab mengapa saya ingin melakukannya,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Tunku Ismail dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa adalah dua calon bagi mengisi jawatan Presiden FAM.

Baginda dalam pada itu memaklumkan akan datang ke Kuala Lumpur untuk mewakili Sultan Johor dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja di Istana Negara.

Justeru, baginda menjemput semua peminat bola sepak di seluruh negara untuk datang berjumpa dan bertanya apa sahaja kepadanya.

“Mereka berpeluang untuk menyuarakan kekecewaan mereka ketika ini ataupun apa sahaja yang mereka mahukan dan saya akan memberikan pandangan saya dan jalan penyelesaiannya.

“Saya di sini mewakili penyokong tanah air untuk mengembangkan dan memajukan bola sepak. Saya berada di sini untuk berkhidmat kepada rakyat,” titah Tunku Ismail. – MYNEWSHUB