Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan Naib Presidennya sendiri, Rafizi Ramli bahawa Ahli Parlimen Pandan itu masih jauh daripada layak untuk menjadi calon Perdana Menteri pembangkang.

Ketua Komunikasi Wanita PKR, Carolyn Khor berkata, bekas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad masih calon ‘heavyweights’ pembangkang untuk memegang jawatan itu.

“Calon PM (pembangkang) masih Anwar dan Mahathir. Calon yang lebih rendah daripada mereka adalah (Presiden PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan (anak Mahathir) Datuk Seri Mukhriz.

“Sebanyak mana Rafizi mahu menjadi sebahagian daripada calon Perdana Menteri (pembangkang), banyak lagi perlu dia capai bagi mengumpulkan sokongan akar umbi, sesuatu yang dipegang semat oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Carolyn mengingatkan Mahathir bahawa beliau tidak boleh dengan mudah menawarkan diri menjadi Perdana Menteri jika UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan hanya kerana kini bersama pembangkang.

Tegas beliau, selama ini PKR dan Anwar yang sentiasa menjadi faktor penyatuan parti pembangkang di Malaysia maka Anwar lebih layak.

Malah, katanya, pakatan pembangkang sepatutnya dikenali sebagai Pakatan Keadilan Rakyat, bukan Pakatan Harapan selepas DAP membubarkan Pakatan Rakyat.

Beliau turut menegaskan, pemimpin wanita PKR iaitu Zuraida Kamaruddin dan anak Anwar, Nurul Izzah boleh dipertimbangkan untuk menjadi calon Perdana Menteri pembangkang.

Kata beliau, ia menunjukkan pembangkang mengutamakan hak sama rata antara lelaki dan wanita di negara ini.