Datuk Seri berusia 29 tahun yang didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ketika mereka sedang bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang, minggu lalu, direman selama empat hari.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tempoh reman sehingga 3 November ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kera­na menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Terdahulu, lelaki yang memakai kemeja berwarna putih tiba di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini pada pukul 9.30 pagi dan suspek diiringi anggota polis masuk ke dalam mahkamah pada pukul 10.50 pagi untuk prosiding reman.

Prosiding berkenaan mengambil masa selama lebih sejam sebelum suspek dibawa keluar pada pukul 12 tengah hari.

Semalam, Datuk Seri itu ditahan polis pada pukul 4 petang selepas tampil menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi Jumaat lalu, tiga anggota Rela iaitu Melvin Cheong Mun Khai,19, Leong Jiun Jie,21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing cedera iaitu bengkak di mata kiri, selain sakit di beberapa bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Mereka mendakwa kejadian berlaku hanya kerana mereka meminta Datuk Seri itu untuk meng­alihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Sementara itu, Rela dalam satu kenyataan memberitahu, empat anggota terlibat membuat laporan berhubung cubaan memberi rasuah bagi menutup kes tersebut di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, di sini, hari ini.

“Anggota terlibat telah memberi keterangan secara bergilir-gilir bermula pukul 12.45 tengah hari hingga 3.30 petang ini,” katanya.