PRU-14: Mudahkan pinjaman perumahan perlu jadi manifesto BN

DATUK RIZALMAN MOKHTAR

 

KUALA LUMPUR 20 Mac – Mudahkan pinjaman perumahan perlu menjadi antara manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, pinjaman perumahan yang mudah amat diperlukan golongan muda terutama di kawasan bandar.

“Saya tidak pasti apa bentuk manifesto yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri terutama untuk golongan muda. Yang paling penting ialah bincang dengan Bank Negara untuk mempermudahkan urusan pinjaman.

“Kerana masalah kita hari ini ialah anak muda dia boleh mendapatkan wang pendahuluan melalui skim MyDeposit yang diwujudkan oleh Kerajaan Perumahan dan Tempatan. Tetapi urusan pinjaman terlalu ketat,” kata Rizalman dalam program Sembang-Sembang Je yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online hari ini.

Najib dijangka akan mengumumkan manifesto khas untuk golongan muda bagi PRU-14 pada 7 April depan.

Sementara itu, Rizalman berkata, BN melalui UMNO yakin untuk menawan semula Parlimen Bandar Tun Razak yang dikuasai pembangkang selama dua penggal sejak tahun 2008 pada PRU-14 nanti.

Menurut beliau, walaupun bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat majoriti besar iaitu 11,832 undi pada PRU-13, nanum keyakinan BN bukan sekadar angan-angan Mat Jenin.

“Kita telah mulakan gerak kerja, strategi, perancangan dan perkhidmatan. Kita bukan bermula tahun ini, bukan bermula tahun lepas tetapi kita bermula sejak tahun 2013. Cuma kita berharap UMNO diberi peluang untuk bertanding selepas dua kali MCA ditolak oleh pengundi.

“Terdapat desakan besar dari pengundi Melayu yang membentuk 54 peratus daripada 101,000 pengundi Bandar Tun Razak yang mahukan UMNO menjadi calon. Berdasarkan angka yang kita ada mengambarkan kita boleh menang,”kata Rizalman.

Jelas beliau, BN Bandar Tun Razak juga tidak gentar dengan nama-nama besar yang akan ditampilkan oleh Pakatan Harapan dan Pas pada pilihan raya nanti.

“Kita tak perlu takut, tak perlu ragu dengan calon-calon yang diketengahkan oleh pihak pembangkang kerana saya yakin rakyat Bandar Tun Razak tahu siapa yang banyak melakukan kerja di Parlimen ini.

“Atas prinsip demokrasi kita meraikan kehadiran kawan-kawan kita. Dari segi pendekatan UMNO ialah kita percaya kita sudah tabur baja selama hampir lima tahun, kita sudah siram pokok. Pokok sudah mula tumbuh buah, tinggal nak petik sahaja,” kata Rizalman.