AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menyarankan PAS turut meletakkan calonnya bertanding kerusi Parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kerusi berkenaan yang terletak di tengah-tengah bandar raya dan sentiasa menjadi fokus setiap kali PRU, adalah kerusi tradisi dan kubu kuat DAP sejak 1969. Parti itu hanya tewas sekali kepada Barisan Nasional (BN) pada 2004.

Melaka mempunyai enam kerusi Parlimen, iaitu Tangga Batu, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Jasin yang disandang BN, manakala Kota Melaka oleh DAP dan Bukit Katil disandang PKR.

Idris yang juga Pengerusi BN Melaka, berkata PAS sepatutnya bertanding semua enam kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada (PRU-14), bukan hanya di kerusi pilihan mereka.

“PAS adalah parti politik kanan di Melaka dan bukan asing di negara ini. Jika diikutkan, 22 kerusi tidak cukup untuk PAS bertanding.

“Pada pandangan saya, PAS patut bertanding semua kerusi DUN tanpa perlu memilih. Sebuah lagi adalah kerusi Parlimen Kota Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Krismas kepada 300 penerima pada majlis yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah di Dewan Seri Bendahara, di sini hari ini.

Semalam, Pesuruhjaya PAS negeri, Kamaruddin Sedik mengumumkan parti itu akan bertanding 22 kerusi DUN dan lima Parlimen pada PRU-14, sekali gus dijangka mewujudkan saingan tiga penjuru di sebahagian besar kerusi di Melaka.

BH difahamkan, kerusi DUN terbabit adalah Taboh Naning, Kuala Linggi, Gadek, Rembia, Durian Tunggal, Machap, Ayer Limau, Tanjung Bidara, Lendu, Sungai Udang, Ayer Molek, Telok Mas, Pantai Kundor, Klebang, Paya Rumput, Bukit Baru, Asahan, Sungai Rambai, Rim, Merlimau, Serkam dan Bemban.

Kerusi Parlimen pula membabitkan Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin, Tangga Batu dan Bukit Katil, namun tewas di semua kerusi berkenaan pada PRU-13, manakala hanya kerusi DUN Bukit Baru berjaya dirampas parti itu daripada BN.