Kenyataan Media oleh Y.B. Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Y.B. Sim Tze Tzin, berkenaan Projek Perumahan PR1MA.

11 Ogos 2017

Parti pembangkang dinasihatkan supaya tidak mempolitikkan PR1MA – program perumahan awam Kerajaan Pusat untuk golongan berpendapatan pertengahan, dengan mengelirukan rakyat demi kepentingan politik masing-masing. Program PR1MA telah diwujudkan untuk kebaikan rakyat, khususnya dalam membantu golongan M40 untuk memiliki rumah dan usaha sebegini patut disokong oleh semua pihak.

Kenyataan yang dibuat kepada media oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Y.B. Sim Tze Tzin, tempoh hari adalah salah dan ahli parlimen tersebut sepatutnya mendapatkan fakta-faktanya yang sahih sebelum membuat apa-apa kenyataan mengenai perkara itu.

Merujuk kepada manifesto Barisan Nasional, PR1MA diberi mandat untuk membangunkan 500,000 unit rumah dalam masa lima tahun dimana kerja-kerja pembangunan ini kini berada dalam pelbagai peringkat. Manifesto tersebut tidak menyatakan bahawa rumah-rumah ini akan siap dibina dalam tempoh lima tahun.

Membina rumah bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan perancangan yang rapi, melibatkan banyak proses dan prosedur, selain memerlukan jumlah pelaburan yang besar. Disebabkan inilah, PR1MA perlu menjalankan pelbagai kajian, terutamanya dari segi analisis permintaan, sebelum memulakan sesuatu projek. Proses untuk mendapatkan kelulusan juga tidak mudah kerana memerlukan penglibatan yang berterusan dengan pihak kerajaan negeri kerana kuasa untuk meluluskan sesuatu projek terletak di bawah pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.

Inisiatif program PR1MA adalah untuk membantu meringankan beban rakyat, iaitu golongan M40 yang tinggal di kawasan bandar dan separa bandar yang menghadapi tekanan kenaikkan kos sara hidup. Kerana itulah, PR1MA perlu melakukan tinjauan dan kajian yang menyeluruh sebelum memulakan sesuatu projek untuk memastikan semua projek PR1MA dapat memenuhi permintaan pasaran dalam kategori produk untuk golongan M40. Tumpuan kami adalah untuk membina rumah yang berkualiti untuk rakyat, dan bukan semata-mata melihat kepada kuantiti.

Sehingga ini, Ahli Perbadanan PR1MA telah meluluskan untuk memajukan sebanyak 267,902 unit kediaman PR1MA di seluruh negara dan dari jumlah itu 139,393 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan. Setakat ini, 9,791 unit kediaman PR1MA telah dijual di seluruh negara, melibatkan nilai jualan sebanyak RM2.36 bilion. Lebih dari 1.47 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PR1MA di seluruh negara dan dari jumlah itu 166,972 orang telah memohon kediaman PR1MA.

Di sepanjang tahun-tahun pasca Pilihanraya Umum ke-13, PR1MA telah melalui pelbagai cabaran dan kepayahan sehingga ada cadangan projek yang terpaksa dibatalkan; selain banyak lagi projek yang masih di peringkat analisis dan di dalam pertimbangan. Ketika kami, di dalam Barisan Nasional, berupaya untuk menjelaskan komitmen kami kea rah memenuhi janji-janji yang telah digariskan dalam manisfesto, saya menyeru Y.B. Sim dan rakan-rakan beliau dalam pakatan pembangkang termasuk Ahli-Ahli Parlimen dan Menteri Besar untuk turut juga melihat sejauh mana pencapaian mereka dalam memenuhi janji-janji yang telah dibuat semasa Pilihanraya Umum yang lalu.