Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa pihaknya tidak menyokong atau mengiktiraf tindakan individu yang melakukan kesalahan dan berisiko terhadap pengguna.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, mendakwa pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang dana atau mengenakan caj terhadap mana-mana pihak bagi membantu membebaskan seorang gadis yang menjadi ‘doktor gigi palsu’.

“Tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap PPIM cukup berat, sekali gus mencemar reputasi persatuan ini yang sudah 20 tahun bertapak. Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana kami dicemuh netizen dan golongan profesional memahami isu sebenar.

“PPIM tidak pernah mengumpul dana, mahupun mempromosikannya sehingga memperoleh RM70,000 untuk membebaskan individu terbabit seperti yang didakwa,” katanya pada satu sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat, di sini. Turut hadir Aktivis kanan PPIM, Muhammad Zharif Johor.

Sebelum ini, bekas pelajar kolej vokasional, Nur Farahanis Ezzaty Adli, 20, mengaku bersalah menyediakan khidmat pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil pada 25 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan ketika dia didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 September lalu, tertuduh ditahan pihak berkuasa ketika sedang menyediakan khidmat memasang pendakap gigi kepada seorang pelanggannya dalam sebuah bilik di situ, sementara di luar ada tiga lagi sedang menunggu untuk mendapatkan khidmat sama.

Susulan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan, Nur Farahanis yang lebih dikenali sebagai Nara, didenda RM70,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Sesyen Melaka. Kegagalan membayarnya menyebabkan tertuduh dibawa ke penjara.

Nadzim mendakwa, peguam bela Nur Farahanis menghubungi pihaknya selepas hukuman dijatuhkan terhadap gadis terbabit, atas mendapat khidmat nasihat saja.

“Tidak dinafikan beliau melakukan kesalahan, namun Nara sudah pun mengaku salah. Pada pandangan saya, tidak salah sekiranya ada NGO (badan bukan kerajaan) atau mana-mana pihak tampil membantunya menjelaskan denda yang dikenakan.

“Kita perlu ubah sikap terus menghukum. Saya sifatkan, Nara sebagai seorang yang bijak kerana mampu melakukan perkhidmatan pendakap gigi dengan hanya menonton Youtube.

“Namun kita tidak sokong dengan apa yang dilakukan itu. Sebaliknya PPIM membantu menasihatkan beliau untuk membuka perniagaan lain,” katanya.

Beliau mendakwa, sumbangan yang diberikan kepada individu terbabit adalah daripada sebuah kelab permotoran yang mengumpulkan sejumlah wang dengan bantuan orang ramai.

“Dana yang dikumpul bagi membantu individu itu turut dibantu PPEIM (Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam) yang terbabit secara langsung mempromosikan poster kutipan dana secara keseluruhan.

“Justeru berlaku salah faham dan orang ramai mentafsir kami yang menghulurkan dana,” dakwanya.