Pihak polis kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran Centro Mall German F&B Festival di Klang ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya pada masa sama juga menasihatkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk tidak membenarkan penganjuran acara tersebut yang dijadualkan pada bulan ini.

“Berdasarkan sumber risikan kita, wujud ancaman sebenar dan kita tidak akan bertoleransi ter­hadap perkara ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi nasihat yang betul kepada pihak berkuasa terlibat (MPK).

“Pendirian saya tegas dalam perkara ini dan saya akan beri kenyataan penuh hari ini atau esok,” katanya kepada pembe­rita selepas menghadiri Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fu­zi berkata, pihaknya bukan sewenang-wenangnya bertindak menghalang acara tersebut tetapi bersikap profesional dalam isu berkenaan.

Katanya, jika didapati wujud ancaman, sudah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memberi nasihat yang betul kepada pihak-pihak berkuasa.

Di SHAH ALAM, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin mengesahkan pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran festival arak tersebut berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, kelulusan permit sementara kepada penganjur hanya akan diberikan sekiranya semua syarat ditetapkan telah dipatuhi.

“Penganjur perlu mematuhi semua peraturan terutamanya tiga syarat utama iaitu tidak membenarkan umat Islam menyertainya kerana makanan dan minuman dari Jerman tidak halal.

“Syarat kedua ialah sekiranya penganjur menghidangkan arak, perlu mendapatkan lesen daripada pejabat tanah kerana minuman keras berada di bawah se­liaan mereka.

“Ketiga mereka perlu mendapatkan pengesahan serta kebenaran daripada polis kerana ini melibatkan isu keselamatan,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, buat masa ini, pihaknya hanya memberikan kelulusan permohonan dan belum lagi memberikan permit sementara festival itu kepada penganjur.