Bicara 1 Suara Kepimpinan

PM, TPM Sifatkan Abdul Manan Sebagai Pemimpin Dedikasi

Oleh Ketua Pengarang / dalam Isu Terkini, Semasa / pada Tuesday, 13 Feb 2018 09:09 AM / 0 Komen / 50 sudah membaca

Perdana Menteri menyifatkan pemergian Allayarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, 70, sebagai satu kehilangan besar buat dirinya.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemergian Ahli Parlimen Paya Besar, Pahang itu turut disifatkan sebagai kehilangan seorang sahabat yang rapat.

“Saya mengenali agak lama dan rapat dengan allahyarham sewaktu beliau menjadi Setiausaha Sulit saya ketika berada di Kementerian Belia dan Sukan.

“Ketika menjadi wakil rakyat, saya melihat beliau telah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi dan menjadi pemimpin yang banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat,” katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Taman Melawati, di sini malam tadi.

Terdahulu Najib ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di perkarangan kediaman allahyarham kira- kira pukul 11.35 malam dan disambut isteri Allahyarham Datin Seri Rohizah Ahmad, 68.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selain beberapa menteri Kabinet dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Abdul Manan dikatakan rebah di bilik di kediamannya sebelum meninggal dunia pukul 6.45 petang semalam.

Beliau yang dipilih menjadi Ahli Parlimen Paya Besar sejak 2008  meninggalkan enam orang anak.

Dalam pada itu Ahmad Zahid ketika ditemui memberitahu, allahyarham merupakan rakan sepejabat ketika Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan.

“Allahyarham merupakan rakan sepejabat saya ketika beliau jadi setiausaha sulit, saya pula adalah setiausaha politik Datuk Seri Najib.

“Beliau turut bekerja rapat dengan saya sebagai seorang Ahli Parlimen yang diberi tanggungjawab tertentu dimana beliau melapor perkara tertentu kepada saya sebagai Ketua Whip BN,”  ujarnya

Jenazah Abdul Manan akan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate sebelum Zohor esok.

Leave a Reply