KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak pernah campur tangan atau mempengaruhi apa juga tindakan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang dilantik ke jawatan itu pada 1 Ogos 2016 berkata, Perdana Menteri memberi kebebasan penuh kepada beliau dan pegawai untuk melaksanakan tugas menyiasat serta mengambil tindakan ke atas pihak yang terbabit dengan rasuah atau salah guna kuasa.

“Sejak saya menerajui SPRM pada 1 Ogos 2016, tidak pernah sama sekali Perdana Menteri mengarahkan saya tidak mengambil tindakan atau mengganggu dengan meminta berhenti membuat siasatan sesuatu kes.

“Itu (dakwaan Perdana Menteri ganggu SPRM) semua tidak benar. Tidak pernah sekali pun berlaku. Saya dan SPRM diberi kebebasan menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk menjalankan fungsinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2017 (PEMANAS 5.0) bertema Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baru anjuran UMNO dan Yayasan Minda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Dzulkifli menjawab soalan peserta yang bertanya sama ada penubuhan Jabatan Integriti dan Urus Tadbir Negara (JITN) akan menyekat peranan SPRM dan rancangan SPRM untuk menangani isu rasuah serta memperbaiki tahap Indeks Pesepsi Rasuah (CPI) 2016 Malaysia.

Beliau berkata, persepsi kononnya Malaysia menjadi antara negara tertinggi rasuah hanya andaian semata-mata kerana kaji selidik CPI dilakukan terhadap golongan ekspatriat, bukannya rakyat negara ini.

Lebih mengecewakan, kata Dzulkifli, segala isu berkaitan rasuah dan tindakan diambil SPRM dipolitikkan pihak tertentu termasuk pembangkang dengan menuduh siasatan dijalankan secara tidak telus dan dipengaruhi kerajaan.

“Selepas saya meneliti senarai kes yang disiasat dan diambil tindakan SPRM, majoriti kes itu membabitkan kepemimpinan negara.

“Pembangkang yang kena hanya ‘ikan bilis’. Itu pun pembangkang masih kata SPRM tidak telus,” katanya.