MANAMA, 14 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin asing pertama dikurniai anugerah tertinggi Bahrain yang baru diwujudkan, esok.

Duta Besar Malaysia ke Bahrain Agus Salim Yusof berkata anugerah itu diwujudkan dua tahun lalu dan penerima-penerima sebelum ini hanya terdiri daripada rakyat Bahrain.
“Ini kali pertama anugerah tertinggi baharu negara dikurniakan kepada seorang pemimlpin asing,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Perdana Menteri Malaysia akan dikurniai ‘King Hamad Order for Development’ oleh Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Shaik Hamad di sini semasa beliau menghadap baginda.
Najib dijadual tiba di sini esok untuk lawatan rasmi tiga hari ke negara ini dan beliau akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Najib akan menghadap baginda di istana sebelum upacara pengurniaan anugerah yang akan turut menyaksikan Hishammuddin menerima Medal of First Degree daripada raja itu.
Lawatan rasmi perdana menteri adalah atas undangan Raja Bahrain yang melakukan lawatan negara ke Malaysia dari 30 April hingga 3 Mei tahun ini.
Kemudian, baginda akan mengadakan jamuan makan malam untuk perdana menteri.
Pada Sabtu, Najib dijadual melawat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (BEDB) di sini sebelum mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa di Istana Ghudaibiya di sini.
Putera Mahkota yang juga Timbalan Panglima Tertinggi dan Timbalan Perdana Menteri Pertama kemudian akan mengadakan jamuan tengah hari untuk Najib.
Agus berkata Najib merupakan satu-satunya pemimpin asing diundang menghadiri upacara Hari Kebangsaan negara ini di Istana Sakhir di sini pada Sabtu dengan kehadiran Raja Hamad.
Agus berkata kira-kira 1,000 tetamu dijangka hadir.
Duta besar itu menyifatkan hubungan Kuala Lumpur-Manama kini berada di tahap paling tinggi sejak dua negara itu menjalin hubunguan diplomatik pada 1974.
Hakikat bahawa perdana menteri Malaysia merupakan pemimpin asing pertama menerima anugerah itu dan satu-satunya pemimpin asing diundang ke perayaan Hari Kebangsaan mencerminkan betapa pentingnya hubungan Malaysia-Bahrain, kata Agus.
Tambahan pula, kata beliau, hubungan Kuala Lumpur-Manama amat penting dari segi perpaduan negara-negara Islam ketika dunia Islam sedang menghadapi pelbagai cabaran.
Agus berkata lawatan Raja Hamad ke Malaysia telah menampakkan beberapa hasil ketara termasuk Manama membuka kedutaannya di Malaysia Oktober lepas.
Katanya, syarikat penerbangan Gulf Air dijangka mengadakan semula penerbangan dari Manama ke Kuala Lumpur dan sebaliknya mulai pertengahan tahun depan selepas operasi penerbangannya bagi laluan itu terhenti pada 2012.
Duta besar itu yakin lawatan perdana menteri akan membuka laluan lebih luas untuk para pelabur dan ahli perniagaan Malaysia meneroka usaha di negara ini yang menawarkan suasana perniagaan dan ekonomi yang cukup kondusif.
Masyarakat perniagaan Malaysia boleh menggunakan negara ini sebagai batu loncatan ke negara-negara Teluk yang mempunyai 36 juta penduduk walaupun Bahrain mempunyai hanya 1.4 juta penduduk.
Perdagangan antara Malaysia dan Bahrain dari Januari hingga September berjumlah RM805.73 juta dengan Malaysia mengeksport produk automotif, jentera, perabot dan makanan sementara jumlah besar import terdiri daripada produk petroleum.
Agus berkata pelabur dan ahli perniagaan Malaysia boleh seterusnya meneroka dengan lebih luas potensi produk berasaskan minyak, pemprosesan makanan dan produk farmaseutikal di negara ini.
Najib dijadual berlepas ke Sri Lanka pada Ahad untuk meneruskan lawatan ke negara itu.
— BERNAMA