RUU Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang diluluskan baru-baru ini tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malah ianya membantu menyelesaikan isu perkahwinan tergantung dan tidak sama sekali merugikan atau menjejaskan kedudukan orang Islam seperti dakwaan sesetengah pihak.

Demikian tegas Ustaz Engku Ahmad Fadzil, Felo Kanan IKSIM (Institut Kajian Strategik Islam Malaysia) dalam menjelaskan kekeliruan yang timbul akibat pindaan RUU Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2017 atau Akta 164 di laman Facebook beliau baru-baru ini.

Menurut Ustaz Engku Ahmad Fadzil, pindaan yang dinyatakan dalam Akta 164 adalah penambahbaikan terhadap suatu akta yang merupakan undang-undang perkahwinan dan perceraian untuk orang-orang bukan Islam tetapi telah menimbulkan banyak konflik apabila salah satu pasangan memilih untuk memeluk agama Islam sementara pasangan yang satu lagi tidak.

“Isu utama di bawah Akta 164 melibatkan perkahwinan bukan Islam, iaitu melibatkan suami isteri yang bukan Islam. Jika pindaan ini tidak dibuat, pasangan yang telah memeluk Islam akan teraniaya kerana dia tidak boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan terdahulu sebelum Islamnya kerana Seksyen 51 yang lama hanya membenarkan permohonan (untuk membubarkan perkahwinan) bagi pasangan yang tidak memeluk Islam sahaja.”

“Pasangan yang telah memeluk Islam juga tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa mendengar permohonan pembubaran perkahwinan orang-orang bukan Islam yang termeterai di bawah undang-undang sivil atau hadanah anak daripada perkahwinan bukan Islam itu.

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pula jelas menidakkan bidang kuasa Mahkamah Sivil di dalam perkara-perkara di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang membabitkan, antara lain, undang-undang keluarga orang-orang Islam.”

Ustaz Engku Ahmad Fadzil menambah, sebelum pindaan, Akta 164 yang hanya terpakai kepada orang bukan Islam (yang telah berkahwin di bawah Akta 164) ini menyebabkan jalan buntu di dalam keadaan ini. Apabila salah seorang pasangan memeluk Islam, ia akan menyebabkan perkahwinan terdahulunya (sebelum memeluk Islam) menjadi tergantung atau “limping marriage”.

Melalui pindaan yang baru ini, pasangan yang memeluk agama Islam boleh memohon pembubaran perkahwinan yang mana sebelum pindaan hanya boleh dilakukan oleh pasangan yang masih kekal sebagai bukan Islam. “Pindaan yang dibuat terhadap Akta 164 ini hakikatnya memberi ruang kepada pihak yang telah memeluk Islam untuk menuntut hadanah, harta dan nafkah hasil dari perkahwinan dengan bukan Islam.

Sebelum pindaan mualaf tidak boleh buat apa-apa dan ternafi haknya semata-mata kerana telah memeluk Islam.” Kata beliau lagi “kebimbangan bahawa pindaan akan menjejaskan hak pasangan yang memeluk Islam untuk memilih agama bagi anak mereka tidak lagi relevan dengan penarikan semula cadangan pemasukan Seksyen 88A.

Jadi ada kritikan-kritikan terhadap pindaan ini yang benar tatkala ia ditulis, tetapi sudah menjadi tidak relevan selepas Seksyen 88A yang bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, malah bertentangan dengan Perkara 11(1) dan Perkara 12(4) tidak lagi diteruskan dan malah sampai bila-bila tidak sepatutnya dimasukkan.”