Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata anak kapal Malaysia Airlines berhak tidak menghidangkan alkohol kepada penumpang mabuk atau bermasalah, selepas saranan PAS supaya arak diharamkan terus dalam menu syarikat penerbangan itu.

Tetapi Datuk Nur Jazlan berkata alkohol bukan masalahnya kerana anak kapal boleh memilih tidak menghidang alkohol kepada penumpang seperti itu.

“Kamu boleh pilih untuk tidak hidang alkohol kepada penumpang yang bermasalah atau kepada orang yang mabuk,” katanya.

Timbalan menteri dalam negeri itu menambah, syarikat penerbangan lain juga menghidangkan arak tetapi mampu menangani masalah berbangkit dengan baik.

“Mungkin tambang murah Malaysia Airlines menarik golongan tertentu,” katanya.

Nur Jazlan mengulas gesaan Pemuda PAS supaya kerajaan mengharamkan alkohol daripada menu penerbangan Malaysia Airlines, selepas kejadian seorang penumpang bermasalah menyebabkan MH128 terpaksa berpatah balik ke Melbourne dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, Rabu lalu.

“Bahkan negara sekecil Brunei pun lebih berani dengan mengharamkan terus hidangan arak di dalam penerbangan Royal Brunei Airlines,” kata Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari semalam.

Bagaimanapun, polis Australia mengesahkan warga Sri Lanka baru sahaja dibebaskan dari pusat psikiatri beberapa jam sebelum menaiki pesawat itu.

Sementara itu, Pemuda PPBM mengingatkan rakannya dalam PAS, pesawat Malaysia Airlines bukan hanya dinaiki penumpang Islam.

“Malaysia Airlines syarikat penerbangan antarabangsa. Syarikat penerbangan global seperti Qatar Airways, Emirates, Etihad milik negara majoriti Islam tidak melarang alkohol dalam penerbangan mereka. Nama-nama itu jenama terbaik dunia,” kata Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kepada FMT.

Tambahan pula, syarikat penerbangan berhak mengeluarkan atau menahan penumpang yang mabuk.

Ahli Parlimen Amanah Khalid Samad berpendapat mereka yang mahu minum arak perlu membayar lebih.

“Apabila seorang penumpang menempah tiket, jika mereka mahu minum arak, mereka boleh meminta dan membayarnya. Saya rasa tidak adil semua penumpang bayar untuk minuman yang dinikmati sebilangan sahaja. Orang yang minum perlu bayar lebih,” katanya kepada FMT.

Wakil rakyat Shah Alam itu tidak merasakan ada keperluan untuk menghidangkan arak dalam penerbangan.

“Kita pernah tengok kes yang ada masalah. Penumpang boleh manahan diri dalam penerbangan yang mengambil masa tidak lebih daripada 24 jam. Dalam penerbangan saya pernah nampak kebanyakan mereka menurut kata tetapi bergantung kepada nasib seseorang, mereka boleh menyerang,” katanya.