Penggiat sektor halal perlu bekerjasama dalam usaha meningkatkan penguasaan negara Islam dalam ekonomi halal dan keuntungan yang diperoleh daripada sektor tersebut.

“Apa yang berlaku sekarang ialah setiap segmen, contohnya, kewangan Islam, sektor pengeluaran halal, pelancongan halal di mana mereka bekerja secara bersendirian, bukan dengan bekerjasama,” kata Profesor Bersekutu Dr Baharom Abdul Hamid dari Pusat Antarabangsa Untuk Pendidikan Dalam Kewangan Islam Malaysia (INCEIF).

Baharom yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan INCEIF berkata, perhimpunan ini penting untuk menangani senario semasa di mana pengeluar utama produk halal adalah negara bukan Islam manakala pembeli utama pula negara Islam.

Beliau adalah penceramah pada sesi mengenai Pedagangan dan Pasaran Halal sempena Ekspo Halal dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia (WHS) 2017 Kelima Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini hari ini.

Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Baharom berkata, sebenarnya wang mengalir keluar dari negara Islam ke negara bukan Islam, walaupun ia sepatutnya berlaku sebaliknya jika ia melibatkan sektor halal.

“Halal sebenarnya adalah perniagaan yang sangat menguntungkan, mampan dan bertanggungjawab secara etika yang sepatutnya memberi manfaat kepada orang Islam.

“Tetapi ia tidak berlaku kerana kita yang muncul sebagai pembeli dan kumpulan terbesar yang mengaut keuntungan dan manfaat ialah negara bukan OIC,” katanya.

Seorang lagi penceramah sebelum itu memberitahu sesi tersebut yang pengeksport terbesar produk halal ialah India, Brazil, Australia, Amerika Syarikat, Argentina, New Zealand,Perancis, Thailand, Filipina dan Singapura, dengan menyumbang hampir 85 peratus kepada pasaran halal global.

Baharom juga menyentuh mengenai mereka yang berada dalam industri itu yang terlalu mengambil berat mengenai aspek adat dan budaya halal sehingga membolehkan penggiat bukan Islam mengambil peluang ke atas permintan tinggi produk halal dan meraih keuntungan daripadanya.

“Saya merayu sarjana Islam yang terlibat dalam sektor halal, contohnya, untuk berbincang dengan ahli ekonomi dan pakar daripada bidang kewangan dan bidang lain yang relevan untuk mewujudkan satu pelan holistik untuk masa depan. Saya percaya ia boleh berlaku,” katanya.

Mengenai pelbagai pendapat mengenai standard halal, Baharom berkata, apa yang penting adalah untuk melihat gambaran yang lebih meluas untuk masyarakat Islam.

Baharom juga berkata, industri halal perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang lengkap.

Menurutnya, ia bukan sahaja mengenai peletakan logo halal di pintu bagi menunjukkan status produk atau perkhidmatan yang disediakan, manakala pekerja dibayar terlalu rendah atau syarikat itu membuat pinjaman secara tidak patuh syariah.

Berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Lutfi Kirdar, Ekspo Halal OIC dan WHS itu dinaungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.