PENGERUSI PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Foto Mohd Fadli Hamzah

Pemecatan Salleh Abas – Dr M salahkan Abu Talib, Agong

Bekas Perdana Menteri itu yang mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini, juga mendakwa pemecatan Salleh adalah atas arahan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Pemecatan Salleh bukan disebabkan oleh saya, namun bagi menjaga nama Yang di-Pertuan Agong ketika itu, nama saya digunakan, kononnya saya yang suruh (pecat), tetapi saya tidak terbabit dalam hal ini,” katanya.

Abu Talib adalah Peguam Negara pada 1980 hingga 1993, manakala Yang di-Pertuan Agong ketika itu adalah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga mendakwa, punca kes itu kerana Salleh menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan rasa kurang senangnya dengan bunyi bising kerja pembinaan di kediaman persendirian Seri Paduka, berhampiran kediamannya.

“Beliau bukan sahaja menulis surat kepada Agong, malah memberikan salinan surat itu kepada Sultan dan Raja negeri lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebagai pegawai kanan kerajaan, Salleh melakukan tindakan yang tidak sepatutnya.

“Beliau seharusnya berjumpa Agong dan menyatakan permintaannya. Tindakannya mendatangkan kemurkaan Agong yang menghubungi saya dan mahu Salleh dipecat.

“Saya beritahu bahawa tidak boleh buang, pasal kalau nak buang, kena ada tribunal dan Agong mahu tribunal dibuat,” katanya.

Seterusnya, Dr Mahathir mendakwa, beliau membawa perkara itu ke Kabinet bagi penubuhan tribunal sebelum Salleh dipecat.

“Saya hanya melakukan perkara yang diperkenan Agong. Saya tidak boleh buat perkara ini sendiri.

“Salleh dipecat bukan kerana saya. Untuk menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Peguam Negara gunakan nama saya kononnya saya yang suruh,” katanya.

Dr Mahathir juga menyatakan kesediaannya bersumpah berhubung dakwaannya itu