Hakikat yang perlu kita tahu sekarang, baru beberapa hari sahaja pembangkang diterajui oleh Tun Mahathir, mereka sudahpun ketandusan idea. Tidak dapat saya bayangkan apa akan jadi kalau mereka diberi peluang nanti. Pasti carca marba jadinya!

Perkara ini jelas dapat dilihat dalam manifesto pembangkang Johor yang telah dibentangkan tempoh hari. Tiada satupun janji-janji dalam manifesto pembangkang yang istimewa jauh sekali untuk menarik perhatian saya.

Tetapi apa yang membuatkan saya teruja dan kagum, terdapat beberapa janji dalam manifesto pembangkang merupakan janji-janji kitar semula dari Kerajaan Negeri Johor. Sehingga ke tahap ini, pembangkang mencedok idea- idea Kerajaan Negeri Johor. Ini amatlah memalukan!

Mereka seolah-olah tiada pendirian sendiri untuk menyakinkan penyokong- penyokong mereka. Dan apa yang dapat dilihat manifesto pembangkang yang dibentangkan hanya sekadar madah helah politik pembangkang.

Lagipun, janji-janji yang terdapat dalam manifesto pembangkang sebenarnya sudahpun dilaksanakan oleh Dato Mohamed Khaled Bin Nordin. Contohnya berhubung dengan agenda perumahan Johor. Ia terang-terangan membuktikan pembangkang menciplak Bajet Johor 2018 yang turut mensasarkan 100,000 unit pembinaan.

Bezanya pembangkang menawarkan dengan harga yang sama. Tetapi istimewanya Bajet 2018, menawarkan dengan nilai harga yang berbeza di samping turut menawarkan harga yang termurah di Malaysia.

Kalau semua janji-janji dalam manifesto pembangkang telah dilaksanakan dengan jayanya, apa guna wakil rakyat yang dilantik nanti? Mudahlah kerja pembangkang nanti, sudah tentu mereka akan tersenyum senang dan duduk hanya goyang kaki sahaja tanpa memikirkan apa-apa. Almaklumlah, semua janji-janji tersebut sudah dilaksanakan lebih awal lagi.

Apa yang lebih penting lagi, bukan hanya manifesto sahaja yang diciplak oleh pembangkang malah ‘tagline’ yang dilancarkan oleh Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin juga turut dikebas oleh mereka.

Dengan tidak malunya pembangkang menggunakan ‘tagline’ Kita Pilih Biru dengan menukarnya menjadi ‘Kita Pilih Biru Yang Lebih Muda’. Belum apa- apa lagi sudah menampakkan mereka ini mula kekeringan idea. Beginilah jadinya apabila pembangkang diterajui oleh Tun Mahathir.

Apa yang boleh saya sifatkan pembangkang di Johor ini tidak mempunyai visi dan misi yang jelas. Malah perjuangan mereka juga masih kabur-kabur lagi. Sebab itulah mereka tidak dapat membentangkan sebuah manifesto yang lebih baik dari apa yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Johor.

Kesimpulannya, saya percaya rakyat Johor dapat membuat pilihan yang tepat siapa yang layak untuk menerajui Negeri Johor ini. Dan pastinya rakyat mampu menangkis segala janji-janji manis yang ditaburkan oleh pembangkang.

Oleh – Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor