KUALA LUMPUR – Ketiga – tiga ketua sayap pergerakan UMNO termasuk Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita serta Pergerakan Puteri UMNO bersetuju agar dua jawatan tertinggi dalam parti iaitu Presiden serta Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO tahun depan.

Pendirian tersebut dinyatakan oleh Ketua ketiga – tiga sayap parti masing – masing iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung sayap masing – masing pada pagi tadi.

Shahrizat berkata, pergerakan itu menyokong cadangan supaya jawatan Presiden yang digalas oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden UMNO yang dijalankan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan seperti dicadangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini.

“Cadangan itu penuh hikmah dan bijaksana kerana perpaduan dan muafakat serta kestabilan parti,” katanya.

Sementara Khairy pula menegaskan syor tiada pertandingan itu bagi memastikan solidariti parti kekal utuh, terutama dalam mendepani PRU-14, malah sokongan “sebulat hati” perlu diberikan kepada Najib dan Ahmad Zahid untuk mengemudikan parti bagi mengharungi PRU-14.

“Biar kita ke medan perang dengan hati yang tenang, dengan fikiran yang lapang. Jangan terbeban dengan persoalan siapakah yang perlu diundi nanti. Jadi, ‘we settle the big question today’, tak perlu lagi dibelenggu persoalan ini,” katanya.

Manakala bagi Mas Ermieyati pula, beliau menegaskan gandingan Najib dan Ahmad Zahid ketika ini sudah cukup mantap, bagai aur dan tebing.

Katanya, kedua-dua pemimpin berjiwa besar ini harus dikekalkan dan diberikan ruang untuk terus bersama-sama memantapkan parti dan negara.

“Dengan itu, tumpuan kita juga dapat ditumpahkan sepenuhnya terhadap usaha untuk menumpaskan gempuran politik pembangkang dalam PRU-14, seterusnya menyambung mandat untuk memenuhi agenda kepentingan rakyat,” katanya.