KUALA LUMPUR – PAS menganggap usaha Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk mengaitkan PAS dalam isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bersandarkan maklumat daripada seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan beliau seorang yang tidak berkredibiliti dan tidak boleh dipercayai.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri mendedahkan, PAS sebenarnya pernah berjumpa dengan bekas pegawai kanan SPRM yang dimaksudkan Rafizi tersebut bagi mendapatkan penjelasan berhubung tuduhan-tuduhan yang dilemparkannya ke atas 1MDB.

Menurut beliau, PAS bagaimanapun mendapati bekas pegawai kanan SPRM itu sebenarnya seorang sumber pemberi maklumat yang kabur yang tidak boleh dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan.

“Persoalannya bolehkah sumber maklumat yang kabur dan tidak jelas sebegini dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan. Seterusnya disebarkan ke seantero dunia yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap seseorang dengan tuduhan yang tidak selayaknya.

“Kaedah pengadilan Islam yang diterima oleh dunia pengadilan menyebut bukti adalah kewajipan ke atas pendakwa. Adakah sumber maklumat yang tidak jelas sebegitu adalah bukti. Mungkin kegelojohan mencipta isu untuk menarik khalayak bagi kepentingan politik sempit mendorong Rafizi melakukan sesuatu yang tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tuduhan terbaru Rafizi iaitu ke atas bekas Naib Presiden PAS yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa kononnya menerima duit daripada dana 1MDB bagi mengheret sama parti itu dalam dakyah 1MDB yang dilemparkannya keatas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama ini.

Rafizi dipercayai membuat tuduhan secara terbuka itu secara tiba-tiba bagi mengalih perhatian orang ramai daripada kisah penentangan PKR terhadap usaha memperkasakan peranan Mahkamah Syariah yang menimbulkan kemarahan umat Islam Malaysia keatas Pakatan Harapan.

Pemimpin PKR itu juga dipercayai berbuat demikian bagi memberi reputasi buruk ke atas PAS kerana PAS kini dianggap musuh Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP yang perlu ditumbangkan secepat mungkin.

Mohd. Khairuddin menjelaskan, dalam pertemuan tersebut, pegawai kanan SPRM tersebut memberitahu PAS beliau “merasakan” pernah melihat sekeping cek dalam fail seorang peguam “seimbas lalu” sahaja yang “dirasakan” mempunyai nama seseorang yang pernah ada kaitan dengan PAS.

Beliau yang turut hadir dalam pertemuan itu berulang kali meminta pegawai kanan SPRM itu membuat pengesahan nama orang yang ada kaitan dengan PAS yang dimaksudkan tersebut, tetapi bekas pegawai SPRM itu menyatakan dia hanya melihat sepintas lalu sahaja fail itu.

Justeru, katanya, PAS meminta pegawai kanan SPRM itu supaya membuat pengesahan dan mendapatkan kembali fail tersebut tetapi dia tidak berbuat demikian.

Tambah beliau, pegawai kanan SPRM itu juga tidak dapat menyatakan jumlah wang dan tarikh berkaitan bersabit dakwaannya ke atas isu 1MDB tersebut.

“Semuanya hanya bersifat maklumat lisan tanpa sebarang dokumen dan sebarang evidence. Kami (PAS) menganggap ianya hanya satu bentuk maklumat yang sangat longgar dan tidak sesuai untuk dijadikan isu atau diambil tindakan lanjut.

“Sehingga kini segala dokumen yang kami perlukan belum dibekalkan oleh pegawai kanan SPRM berkenaan dan sekarang beliau adalah pesara,” dedahnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan terbaru Rafizi keatsa 1MDB itu hanya bersumberkan maklumat bekas pegawai kanan SPRM tersebut secara lisan dan kenyataan itu tidak disertakan dengan sebarang bentuk maklumat terperinci mahupun sebarang dokumen pembuktian.

“Kenyataan Rafizi yang bersifat tuduhan ini adalah dalam konteks niat jahat memalitkan isu ini kepada PAS dengan bersandarkan “cakap dengar” sahaja tanpa sebarang pembuktian.

“Rakyat telah menilai betapa gelojohnya Rafizi membuat tuduhan berasaskan cakap dengar hanya semata-mata kebencian kepada PAS dan juga semata-mata kerana menentang RUU 355 yang diusahakan oleh PAS.

“Saya rasa Rafizi perlu fokus pada tuduhan oleh Chegu Bard yang telah tersebar bahawa beliau dan PKR menerima wang daripada John Soh yang terlibat dengan pelbagai skandal salah laku kewangan sehingga merengkok di dalam penjara di Singapura sekarang,” katanya.