Optimis rakyat bakal beri kepercayaan kepada BN

MUSTAFFAR KAMAL AB. HAMID

 

MUKADIMAH: PADA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pembangkang menang 3-0 di Indera Mahkota. Namun, Barisan Nasional (BN) tidak melihat keputusan itu sebagai titik noktah untuk parti berkenaan kembali merampas kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemubual Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berhubung usaha dan komitmen beliau bagi memastikan Indera Mahkota kembali dikuasai BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat peluang BN di Indera Mahkota pada PRU-14?

MUSTAFFAR KAMAL: Kita optimis rakyat masih menaruh kepercayaan terhadap kepemimpinan kerajaan sedia ada dalam membangunkan negara ini yang telah dibuktikan berdasarkan rekod bersih dan kecemerlangan BN dan komponennya. Ia hasil maklum balas yang diterima menerusi beberapa program berkonsepkan serampang dua mata dengan aktiviti turun padang bersama rakyat yang memfokuskan penyampaian dasar-dasar kerajaan secara terus.

Kira-kira 10 tahun Indera Mahkota di bawah pembangkang, apa pembaharuan yang Datuk lihat dilakukan oleh mereka?

Selama 10 tahun pembangkang menguasai Parlimen Indera Mahkota, wakil rakyat mereka hanya bekerja untuk mendapat gaji. Mereka tidak turun bertemu pengundi dan apabila tiba musim pilihan raya, mereka muncul menabur janji. Ini hasil rungutan rakyat di peringkat bawahan yang saya terima apabila bertemu dengan mereka. Rakyat menye­dari Indera Mahkota ketinggalan daripada segi pembangunan dan mereka tidak mahu situasi sedemikian berterusan.

Isu calon dikatakan menjadi antara punca kekalahan BN pada PRU-13, bagaimana Datuk melihat perkara ini?

UMNO Bahagian Indera Mahkota mempunyai tokoh-tokoh pemimpin yang berwibawa dan dikenali rakyat untuk diketengahkan sekali gus tidak memerlukan calon ‘payung terjun’ yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu di kawasan ini perlu dijadikan iktibar.

Setelah tewas 3-0 kepada pembangkang pada PRU-13, adakah Datuk yakin BN dapat merampas kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN pada PRU-14?

Jentera parti sudah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi PRU-14 dan kita bekerja keras sejak tewas pada pilihan raya umum lalu lagi untuk kembali merampas ketiga-tiga kerusi berkenaan. Pergerakan dan kepercayaan rakyat untuk kembali memberikan peluang kepada BN itu ada. Rakyat mahu tahu apa yang ingin dijanjikan kepada mereka di sini dan apa yang penting janji-janji yang dibuat ditunaikan.

Apakah harapan Datuk kepada pengundi di Indera Mahkota?

Rakyat dapat memberikan kembali kepercayaan kepada BN pada PRU-14. Rakyat pasti bijak menilai apa yang dilakukan kerajaan pimpinan BN di kawasan Parlimen Indera Mahkota dan apa dilakukan pembangkang. Walaupun kawasan ini sedikit ketinggalan dari segi pembangunannya, namun kerajaan BN tidak mengabaikan Indera Mahkota dan rakyat di kawasan ini. Insya-Allah kita akan terus memastikan nasib rakyat sentiasa terbela.