Lepasan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu, Muhammad Nur Irfan Mohd Zameri telah terpilih menjadi pelajar pertama penerima biasiswa Al-Watiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Program Saintis Islam Terengganu yang akan melanjutkan pelajaran di Manchester University bagi mengikuti kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Aero Angkasa selama empat tahun.

Nur Irfan yang berasal dari Kampung Sungai Kerak Marang menerima biasiswa permulaan berjumlah RM854,000 merangkumi keseluruhan pengajian yang akan diikuti kelak.

Beliau sebelum ini menjalani program persediaan A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin Perak selama dua tahun dan bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PHD).

Program Saintis Islam Terengganu diperkenalkan pada tahun 2015 dengan pengambilan pelajar anak Terengganu lepasan SPM 2014 yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan hafiz 30 juzuk Al-Quran serta lulus ujian kelayakan dalam program pencarian Saintis Islam Anjung Ilmu dengan kerjasama Unversiti Malaysia Terengganu. Tujuan program ini diperkenalkan adalah untuk melahirkan golongan Saintis Islam terulung dunia dalam perkembangan Ketamadunan Islam Terengganu.

Majlis penyampaian biasiswa tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman hari ini.

Ahmad Razif dalam sidang media memberitahu hasrat kerajaan negeri dalam dalam Program Saintis Islam Terengganu ini mampu melahirkan Tokoh Ilmuan Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Haitham, Al-Jazari, Ibnu Khaldun dan berbagai lagi yang boleh menberi sumbangan dan berbakti kepada negeri, negara dan agama Islam.

Pada majlis yang sama Ahmad Razif juga menyampaikan peruntukan kepada enam pelajar yang mengikuti Program Berkembar Nottinham University United Kingdom iaitu Nur Amalina Abd Halim (Farmasi), Wan Norfatin Zafirah on Abd Razak (Kejuruteraan Mekanikal), Mohd Amir Asyraf Mohd Rozailan (Kejuruteraan Elektronik & Elektrik), Wong Yu Han (Kejuruteraan Mekanikal), Ahmad Fitri Omar Hasifuddin (Pengurusan & Akaun Kewangan) dan Nurul Izzatie Zuraimi (Nutrisi) yang melibatkan bantuan keseluruhan sebanyak RM3.01 juta merangkumi pembelajaran di Kampus Nottinham University Malaysia dan UK.

Pada tahun ini kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM22.3 juta untuk menaja kos pengajian seramai 308 pelajar di sembilan negara iaitu Rusia, Jordan, Mesir, Indonesia, UK, Jerman, Amerika Syarikat, Australia dan Maghribi. – Terengganu Times