Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti pendidikan ke arah kesedaran membayar cukai kepada umum selain meneruskan aktiviti pematuhan cukai bagi mencapai sasaran kutipan cukai bagi tahun 2018 sebanyak RM 134.7 bilion.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Sabin Samitah lagi peningkatan kutipan cukai tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan positif ini jelas menggambarkan yang secara keseluruhan strategi tahun 2017, telah dirancang dan dilaksanakan secara baik sehingga memberi impak dan kesan yang diinginkan,” katanya kepada pemberita sempena majlis minuman petang bersama media, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Sabin, selain strategi dirancangkan oleh LHDNM, pendorong utama kepada peningkatan positif ini adalah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang sangat memberangsangkan pada tahun lepas.

Tambahnya lagi, cukai pendapatan merupakan komponen terbesar hasil negara, dengan sumbangan sekitar 50-55 peratus setiap tahun, yang akan menjadi dana untuk membiayai dasar pembangunan negara dan kelangsungan kesejahteraan rakyat.

Oleh itu LHDNM akan terus berusaha untuk memastikan tidak berlaku pengelakan cukai yang akan dapat membantu meningkatkan kadar pematuhan cukai di kalangan masyarakat.

Pada tahun ini, LHDNM akan mensasarkan kepada sektor insurans, perbankan dan kewangan bagi memastikan pematuhan cukai ke atas sasaran tersebut.

Begitu juga aktiviti pindahan harga dan ekonomi pasaran gelap oleh sebilangan syarikat multinasional akan terus menjadi fokus utama LHDNM kepada pemantapan strategi pematuhan cukai yang bakal dilaksanakan.

Sehingga kini, LHDNM telah mengesan hampir 50 syarikat tempatan dan multinasional yang beroperasi di Labuan melibatkan amaun cukai yang diragui.

Ini kerana ada di antara mereka yang memindahkan dana dan keuntungan kepada akaun luar pesisir Labuan yang sebenarnya tidak beroperasi, bertujuan untuk menikmati cukai yang rendah.