Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua atlet negara menampilkan persembahan terbaik dan berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) dan Sukan Para ASEAN 2017.

Perdana Menteri berkata atlet negara boleh mengharapkan sokongan lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika mereka bersaing dengan atlet serantau pada temasya KL2017 dari 19 hingga 30 Ogos ini dan Sukan Para ASEAN Kesembilan dari 17 hingga 23 Sept ini.

Sambil melaungkan keyakinan kejayaan itu bukan mustahil dicapai, Najib berkata beliau dan seluruh rakyat Malaysia boleh berdoa dan bertepuk sehingga ‘lebam’ tetapi akhirnya yang akan menentukan warna sesuatu pingat adalah atlet itu sendiri.

“Kita mahu lihat aksi bertaraf dunia dipamerkan setiap atlet sekali gus meletakkan kita sebagai jagoan atau kontinjen terbaik di rantau ASEAN.

“Jadi, saya mewakili 30 juta rakyat memohon anda semua agar berjuanglah bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke KL2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini Khamis.

Malaysia akan diwakili 873 atlet pada Sukan SEA ke-29 yang keseluruhannya melibatkan 38 jenis sukan merangkumi 404 acara.

Ini kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu selepas kali terakhir pada 2001 dan sekali gus muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas .

Perdana menteri seterusnya berkata setiap rakyat Malaysia pastinya menyimpan impian untuk melihat atlet menggunakan peluang beraksi di laman sendiri sebagai dorongan memastikan Jalur Gemilang berkibar megah dan lagu kebangssan Negaraku berkumandang pada semua aksi membabitkan atlet negara.

“Dengan kelebihan ini, kami semua amat yakin sejarah baharu mampu dicipta dan mahu anda semua lakukan sehabis baik sekali gus membawa kontinjen negara muncul sebagai juara keseluruhan, ” katanya sambil disambut laungan penuh bersemangat “Boleh!” oleh atlet yang memenuhi Dewan Perdana PICC.

Najib turut mengimbau kejayaan kontinjen negara memenangi 67 pingat emas dan menduduki tangga kedua keseluruhan pada edisi 1989 yang mana beliau merupakan Menteri Belia dan Sukan ketika itu.