KETUA ARMADA Bahagian Kuantan, Mohd Ashraf Muhammad Asri, 30 menunjuk laporan polis yang telah dibuat berkaitan ugutan terhadap dirinya berikutan komen beliau yang tular mengkritik AGM PPBM di IPD Dang Wangi. – Foto Salhani Ibrahim

Ketua Pemuda PPBM Kuantan diugut

Mohd Asyraf Muhammad Asri, 30, yang mengetuai Pemuda PPBM Bahagian Kuantan, berkata beliau menerima mesej selepas kenyataannya disiarkan dalam laporan Buletin Utama TV3 pada malam selepas perhimpunan berkenaan.

Beliau yang membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, mendakwa mesej terbabit dihantar seorang individu dalam PPBM peringkat pusat, dikenali sebagai Mr Zack.

“Dalam mesej itu, Mr Zack turut menyatakan seluruh Malaysia ingin berkenalan dengan saya dan meminta saya ‘standby’ (berhati-hati),” katanya.

Mohd Asyraf mendakwa, surat itu juga antara lain mengandungi ayat kesat selain menuduhnya terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta dikatakan menjadi tali barut parti lawan.

“Saya percaya ugutan dan kecaman itu kerana saya mengeluarkan kenyataan kesal apabila golongan muda tidak berpeluang menyoal berkaitan sebarang isu terkini mengenai kepemimpinan parti (PPBM).

“Dalam temubual (media) itu, saya memberi kenyataan apa sebenarnya berlaku, termasuk isu suara golongan muda seakan disekat dan tiada konsep demokrasi dalam parti,” katanya.

Berikutan ugutan yang diterima, Mohd Asyraf berkata, beliau bimbang keselamatan diri dan keluarganya, sekali gus meminta polis menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Asyraf yang juga perwakilan ke perhimpunan agung sulung parti berkenaan di Shah Alam, Selangor, kesal kerana generasi muda tidak berpeluang menyoal pemimpin parti berkaitan isu terkini.

Beliau juga dilaporkan berkata, suara generasi muda seakan disekat dan tiada konsep demokrasi dalam parti