Pendirian Kerajaan Selangor tidak memeterai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus dipersoalkan.

Pengerusi Gerakan Selangor dan Koordinator kerusi Parlimen Puchong, Datuk David Ang Chin Tat mendakwa, penolakan ikrar IBR di negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan itu, hanya menguatkan kepercayaan bahawa Harapan Selangor dibebani rasuah, kronisme, nepotisme kerana tidak mempunyai keberanian mencari penyelesaian memerangi rasuah di negeri ini.

Dakwanya lagi, Kerajaan Selangor tidak mempunyai kredibiliti untuk memberi jaminan bahawa negeri itu bebas rasuah, meskipun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa negeri itu mempunyai mekanisme sendiri dalam memerangi rasuah.

“Kerajaan Selangor tidak mempunyai kredibiliti untuk beri jaminan negeri itu bebas rasuah kerana sistemnya tidak mendapat akreditasi piawaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melahirkan rasa kecewa apabila hanya kerajaan di bawah pimpinan PKR itu masih enggan berbuat demikian, sedangkan semua negeri sudah melafazkan IBR termasuk Pulau Pinang dan Kelantan.

“Ini amat mendukacitakan kerana Selangor satu-satunya negeri yang belum melakukan IBR namun, kita tidak putus harap dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi IBR itu,” katanya.

Ang Chin Tat berkata, banyak contoh skandal yang dikaitkan dengan Selangor tetapi sayangnya, Mohamed Azmin masih tidak mempedulikan apa yang berlaku di belakangnya, malah menolak jemputan SPRM untuk menandatangani IBR.

“Adalah malang Mohamed Azmin tidak ambil peluang ini untuk membuktikan komitmen anti-rasuah Harapan di negeri itu.

“Harapan gagal menangani rasuah, kepimpinan buruk dan ketidakupayaan untuk memeriksa sendiri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor menafikan ia tidak memberi kerjasama kepada SPRM untuk menandatangani IBR.