Kementerian Kesihatan mendedahkan amalan tidak beretika syarikat insuran kesihatan mengenakan caj pentadbiran kepada hospital yang boleh menyebabkan kos perubatan di negara ini melambung.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyiasat perkara tersebut yang dipercayai diamalkan oleh hampir semua syarikat insurans.

“Sebagai contoh, hospital memberi bil kepada syarikat insurans RM1,000 bagi kos rawatan pesakit, syarikat insurans hanya bayar RM900 sahaja kepada hospital, baki RM100 pula dikira sebagai caj pentadbiran atau perkhidmatan.

“Selepas itu apa yang akan dibuat oleh hospital swasta ini? Mereka akan naikkan amaun bil itu kemudian, jadi kos perubatan akan meningkat,” katanya dalam sidang media semalam di Putrajaya.

Dr Subramaniam berkata perkara itu telah lama diamalkan oleh syarikat insurans di negara ini namun hanya dibawa ke pengetahuannya oleh beberapa wakil hospital swasta baru-baru ini.

Katanya pihak hospital swasta terpaksa mengikut kehendak syarikat insurans kesihatan kerana takut kehilangan pesakit.

“Jika hospital swasta enggan membayar caj pentadbiran itu syarikat insurans akan mengeluarkan mereka daripada senarai hospital panel dan menasihatkan pelanggan mereka mendapatkan rawatan di hospital lain,” katanya.

Dr Subramaniam berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min untuk bekerjasama dengan BNM bagi mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan syarikat insurans kesihatan menjalankan perniagaan secara profesional.