Potongan Cukai Berjadual (PCB) akan dilakukan oleh pihak majikan setiap bulan ke atas pendapatan penggajian mengikut jadual yang ditentukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Walaubagaimana pun seringkali akan terdapat lebihan dan ianya wujud apabila bayaran ansuran bulanan atau bayaran cukai pendapatan telah melebihi tanggungan cukai (baki debit) di dalam akaun.

Pembayar cukai boleh mengelak keadaan ini dengan memantau potongan gaji bulanan atau ansuran dwi-bulanan atas pendapatan dan membandingkan dengan jumlah sebenar cukai yang perlu dibayar seperti dalam notis taksiran.

Sebarang pertukaran atau perubahan maklumat ini akan menyebabkan pengiraan PCB akan berubah sekiranya pembayar cukai memaklumkan kepada pihak majikan.

Perkahwinan atau perceraian yang berlaku ke atas pembayar cukai di dalam tahun taksiran perlu dimaklumkan kerana pengiraan pembayar cukai yang berkahwin dan bujang adalah berbeza.

Kelahiran atau kematian anak di bawah tanggungan juga harus dikemaskini kerana setiap seorang tanggungan anak di bawah jagaan ibubapa mempunyai pengiraaan yang tersendiri mengikut jadual PCB tersebut.

Ini termasuklah jika kematian kepada pasangan turut diambil kira sebagai perubahan maklumat yang perlu dimaklumkan bagi mengelak PCB terlebih bayar bagi tahun tersebut.

Perlu juga dimaklumkan jika pembayaran zakat yang dilakukan bukan melalui potongan gaji daripada majikan. Sebarang tambahan bayaran zakat akan ditolak dari jumlah bersih cukai yang perlu dibayar untuk sesuatu tahun.

Oleh yang demikian, sebarang perubahan butiran maklumat yang dinyatakan adalah penting untuk pengiraan PCB agar jumlah yang sepatutnya dipotong mengikut jadual yang telah ditentukan dengan lebih tepat.