1MDB-logo-thumbKenyataan Media oleh 1Malaysia Development Berhad

28 Mac 2016

Untuk penerbitan segera

1MDB merujuk kepada pendedahan oleh YB Rafizi Ramli hari ini yang didakwa sebagai petikan dari Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), laporan berkenaan difahami telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pihak 1MDB sebelum ini telah mengesahkan bahawa terdapatnya ketidakpadanan aliran tunai pada tahun 2015, pihak 1MDB telahpun membuat pengesahan berkenaan isu tersebut yang dibuat pada 21 Mac 2016, semua pembayaran kepada PPHM di bawah kontrak itu adalah terkini dan tidak ada jumlah yang tertunggak. Oleh itu, 1MDB menafikan sekeras-kerasnya bahawa ia adalah punca kepada kelewatan pembayaran kepada ahli-ahli angkatan tentera.

1MDB sedia maklum bahawa LTAT, dalam masa terdekat, akan memberikan penjelasan yang meyakinkan mengenai kononnya hubung kait antara kontrak 1MDB bersama PPHM dengan bayaran yang disalurkan kepada ahli-ahli angkatan tentera. Hubung kait yang akan diperkatakan ini adalah satu pembohongan yang sengaja direka-reka oleh YB Rafizi, dengan tanpa segan silu cuba menjadikan ianya sebagai satu fakta.

Lebih penting lagi, jika apa yang didakwa YB Rafizi sebagai satu tindakan yang benar, maka ia bukan sahaja menunjukkan sikap tidak hormat kepada perlembagaan undang-undang tetapi juga melancarkan satu bentuk penghinaan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh PAC, yang merupakan Jawatankuasa Pilihan Parlimen. YB Rafizi tidak boleh mendakwa beliau adalah seorang “pemberi maklumat” atau bertindak demi kepentingan awam, memandangkan PAC, dengan kuasa yang sah dan dianggotai oleh lima anggota pembangkang, sudah pun mempunyai akses untuk melihat dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

1MDB percaya bahawa pihak berkuasa yang berkenaan dan Parlimen akan menyiasat dakwaan YB Rafizi bahawa beliau telah berkongsi isi dokumen yang telah diklasifikasikan di bawah OSA, seterusnya, sebahagian daripada penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Parlimen. Jika terdapat salah laku yang terbukti telah dilakukan oleh beliau, kami percaya bahawa tindakan akan diambil di bawah perlembagaan undang-undang.