Kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini dipercayai berlaku semasa proses pemindahan data di sebuah syarikat telekomunikasi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata perkara itu berlaku ekoran beberapa pekerja syarikat tersebut dipercayai cuba mengambil kesempatan ketika membuat proses pemindahan data berkenaan.

“Saya tidak pasti apa tujuan mereka mengambil data itu tetapi kami menjumpai beberapa petunjuk baharu (kes ini) termasuklah mengenal pasti suspek yang terlibat.

“Kami dapat sedikit gambaran bagaimana transaksi data itu boleh terlepas kepada pihak tidak berkenaan tetapi kawalan keselamatan dalaman telah dibuat oleh pihak bertanggugjawab,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan perhimpunan pegawai awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sedang menyiasat kes itu bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).