Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) dikatakan pilihan raya yang akan mencetuskan satu fenomena yang baharu. Berkemungkinan besar akan menjadi pilihan raya yang paling sengit dan boleh dijadikan sebagai ibu segala pilihan raya.

Dalam sesuatu pilihan raya, setiap parti mempunyai calon tertentu untuk dipertandingkan. Tidak kira dari calon parti yang berpihak kepada kerajaan mahupun pembangkang, mereka haruslah meletakkan calon terbaik yang boleh diterima baik oleh rakyat di sesuatu kawasan.

Sehubungan dengan itu, apa yang lebih penting bagi saya sebagai orang muda ialah calon-calon yang bertanding haruslah mempunyai dan menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Paling penting sekali, calon yang bertanding mestilah boleh menarik undi rakyat khususnya orang muda seperti saya.

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan iaitu Analisa Pasca Pilihan Raya Umum 2013 : Pandangan Generasi Muda. Faktor pemilihan calon mestilah mengikut beberapa kriteria iaitu ketokohan kepimpinan, kelahiran tempatan, berpendidikan tinggi dan ketokohan beragama.

Jadi jelas menunjukkan bahawa faktor kelahiran tempatan merupakan faktor utama yang perlu di ambil kira dalam pemilihan calon. Tidak kira sama ada calon di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Yang penting calon tersebut merupakan calon tempatan bukannya calon transit.

Johor Bukan Negeri Transit

Faktor inilah yang amat dititikberatkan di negeri Johor. Seboleh-bolehnya negeri Johor tidak mahu jadikan negeri ini sebagai negeri transit oleh pihak- pihak tertentu.

Ada beberapa sebab mengapa negeri Johor mementingkan calon tempatan berbanding dengan calon transit.

Pertama, apabila calon tempatan yang mentadbir Johor, mereka mampu memahami kehendak rakyat dengan sebaiknya. Walau apa jua ideologi politik yang dianuti oleh rakyat, calon tempatan tetap akan menjadi pilihan mereka.

Sudah tentu calon tempatan ini akan memperjuangkan nasib rakyat di kawasannya sendiri. Dalam masa yang sama, calon tempatan ini mampu menyumbangkan masa dan tenaga dengan lebih ikhlas di kawasan sendiri.

Kedua, calon tempatan mudah untuk ditemui atau bersua muka. Perkara ini juga membolehkan calon tersebut untuk turun padang ke kawasan-kawasan tertentu bila-bila masa sahaja.

Berbeza pula dengan calon transit yang berkemungkinan mereka mempunyai kekangan dari segi masa. Lebih membimbangkan lagi, jika calon transit ini hanya wujud semasa kempen pilihan raya. Tetapi apabila berjaya mendapat mandat kelak, mereka hilang begitu sahaja.

Jadi Johor tidak mahu perkara seperti ini berlaku di peringkat Parlimen mahupun DUN. Hal ini kerana ia akan memberi kesan yang negatif kepada rakyat di sesuatu kawasan.

Ketiga, Johor mementingkan calon tempatan kerana calon ini lebih banyak pengalaman dan tahu tentang selok-belok di kawasan sendiri. Tentunya, calon tempatan ini mudah untuk didampingi oleh rakyat.

Dalam pada itu juga, ia memudahkan rakyat untuk mengadu segala masalah yang dihadapi oleh mereka. Hal ini kerana rakyat akan lebih selesa dan tidak kekok untuk meluahkan apa-apa sahaja masalah kepada calon tempatan yang sedia maklum akan situasi di kawasan tersebut.

Jadi kesemua ini adalah sebab-sebab yang jelas mengapa Johor sangat mementingkan calon tempatan berbanding dengan calon transit. Melihat kepada sebab-sebab ini saya rasa negeri Johor bukan tidak mempercayai calon transit tetapi ia lebih kepada berjaga-jaga sebelum terkena. Ia boleh diibaratkan seperti sediakan payung sebelum hujan.

Walaupun calon transit boleh menjanjikan apa-apa sahaja semasa kempen. Tetapi sebagai anak muda saya bimbang kehadiran mereka kelak tidak dapat memenuhi segala kehendak rakyat dengan sebaiknya. Disebabkan tiada sikap kesefahaman antara calon dan rakyat.

Oleh itu, sangat relevan apabila Johor tetap teguh dengan pendiriannya untuk mengangkat calon tempatan berbanding calon transit. Hanya calon tempatan sahaja mampu menyelesaikan masalah dan memperjuangkan segala aspirasi rakyat di kawasan sendiri. Berbanding dengan calon transit yang belum tentu dikenali oleh rakyat setempat.

Biarpun calon tempatan yang dipertandingkan muda tetapi ia masih mampu menawan hati rakyat setempat. Malah mampu menyumbangkan tenaga untuk merealisasikan segala keperluan dan harapan komuniti. Secara tidak langsung juga, ia memberi ruang dan peluang kepada calon muda untuk menjadi pelapis dalam sesebuah parti.

Kesimpulannya, pencaturan ini perlu diambil perhatian oleh parti-parti yang bertanding di Johor. Sesungguhnya orang muda seperti saya menolak sekeras-kerasnya calon transit dari mana-mana parti yang bertanding. Dan sebagai anak muda juga, kami tidak mahu orang luar yang mentadbir negeri Johor. Kerana ini adalah Johor Darul Takzim bukannya Johor Darul Transit!