PUTRAJAYA 28 Sept. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan menegaskan, penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) tidak mengganggu bidang tugas institusi bebas lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sambil mempertahankan penubuhan jabatan baharu itu, beliau berkata, kewujudannya bagi menerajui transformasi dalam kalangan penjawat awam, memacu perubahan polisi di samping memperkasakan sektor awam.

“Jabatan ini tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi atau memberi arahan bukan sahaja kepada SPRM malahan institusi bebas lain seperti Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Peranan saya juga hanya sebagai menteri perantara yang menyelaras institusi-institusi bebas berkenaan sekiranya mereka mempunyai sebarang keperluan dan permintaan untuk dibawa ke Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad supaya kerajaan mengkaji semula penubuhan JITN yang disifatkan akan menyebabkan pertindihan skop kerja dengan agensi sedia ada.

Terdahulu, beliau menghadiri Hari Terbuka Integriti EAIC dan Pelan Pelancaran Strategik EAIC 2017-2022 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md. Sam serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Mengulas lanjut, Seng Kuan berkata, penubuhan jabatan tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Julai lalu selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata, jabatan tersebut akan menjadi agensi yang dapat membantu dalam libat urus kerajaan dengan pihak masyarakat serta menjalin hubungan kerjasama bersama masyarakat termasuk dewan atau pertubuhan perniagaan bagi menambah baik tadbir urus serta hak asasi manusia dalam sektor bukan kerajaan.

Dalam pada itu, katanya, buat masa sekarang penubuhan jabatan itu sedang diteliti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui perbincangan dengan semua agensi-agensi relevan bagi memastikan tiada pertindihan fungsi dan menambah baik keberkesanan penggunaan sumber manusia serta tenaga manusia sedia ada.

Sementara itu, Yaacob dalam ucapannya berkata, pelan strategik tersebut merupakan perancangan pihaknya sebagai salah sebuah badan selain daripada SPRM yang diberi tanggungjawab bagi mengukuhkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi pengkuatkuasaan.

“Pelan strategik ini mempunyai empat teras utama yang perlu dilaksanakan oleh EAIC dalam tempoh lima tahun iaitu mengenai pemantapan penyampaian perkhidmatan dalam pengurusan aduan dan siasatan; pemantapan perundangan, dasar dan prosedur; pendidikan, pencegahan dan pembudayaan nilai integriti serta pemantapan keupayaan serta kapasiti organisasi.

“Pelan ini juga akan membentuk garis panduan dalam gerak kerja EAIC dalam semua perancangan, program dan aktiviti yang dilaksanakan bagi menangani cabaran akan datang selari dengan perkembangan kemajuan negara dan perubahan global,” katanya.