Akhirnya London mahu mengambil tindakan tegas terhadap pelampau beragama yang kebanyakkannya berkaitan dengan agama Islam, malah Malaysia sendiri turut sama mengutuk perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan tersebut.

Ini lah jadinya bilamana agama sering disalah tafsir, berlandaskan maklumat dan seruan jihad yang dipesongkan oleh mereka-mereka yang berkepentingan untuk berkuasa dan menguasai, dan yang menjadi sasaran adalah mereka yang tiada kena mengena dengan tuntutan agama.

Tiada didalam saranan Alquran untuk menyerang mereka yang tiada kaitannya dengan agama melainkan jika sesuatu kaum itu mula mengugat dan mencabar serta menghina kedaulatan agama Islam, tindakan perundangan baru diambil dan bukannya meletakkan kesalahan kepada semua manusia termasuk kanak-kanak, sila rujuk kepada tafsir Alquran Surah Al-Kaafiruun.

Malaysia juga tidak kurang pernah menjadi mangsa cubaan serangan pelampau beragama, malah lebih teruk dari itu politik di negara ini juga sering diserabutkan dengan masaalah yang berkaitan dengan agama, pernah suatu ketika kita dikejutkan dengan isu kafir mengkafir sesama Islam yang menyebabkan berlakunya banyak perpecahan umat di negara ini.

Kemudiannya didatangai pula dengan beberapa fahaman baharu yang kononnya orang kafir boleh menterjemahkan hadis dan Alquran mengikut fahaman mereka dan ianya di halalkan pula oleh pakar agama dari kelompok mereka, selain dari ujudnya kumpulan-kumpulan yang mendakwa di zahirkan atas perintah Allah S.W.T. untuk menentang kerajaan yang zalim.

Kemudian timbul pula isu orang bukan muslim yang memasuki ruang solat masjid untuk menyampaikan maklumat dan berceramah yang bukan sekali berlaku tetapi telah kerap terjadi cuma bezanya dahulunya perkara ini tidak dibantah oleh rakan sepasukan mereka yang pernah mendakwa bahawa mereka terdiri dari para alim ulamak dan bijak dan tahu hukum hakam didalam bergama.

Tetapi setelah tidak bersama di dalam satu pasukan maka tindakan yang sama kini adalah menjadi satu kesalahan dan mendesak agar mereka yang berperilaku sedemikian diambil tindakan, malah turut mengheret baginda Sultan untuk bertitah, sedang dahulu mereka juga yang membantah Sultan untuk masuk campur didalam urusan politik mereka.

Didalam isu orang bukan Islam memasuki masjid untuk memberi ceramah yang perlu diambilkan tindakan adalah jawatan kuasa masjid itu sendiri bukannya kepada mereka yang memberi ceramah tersebut, kerana mereka yang membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid mereka untuk berceramah, ini termasuk memberi kebenaran mengunakan fasalitis masjid.

Timbul pula isu bahawa orang Islam dinegara ini tidak bertolaransi didalam menghukum sesuatu isu, ada ketika boleh dan pada suatu ketika pula tidak boleh bergantung kepada kepentingan kelompok yang membesarkan isu tersebut, seolah-olah pendirian melaksanakan hukum sesuatu isu didalam agama Islam seperti flip-flop.

Sedangkan isu ahli politik bukan beragama Islam memasuki masjid untuk berceramah telah lama mendapat larangan tetapi dinafikan oleh rakan sekutu mereka yang menjalinkan hubungan politik pada ketika itu, malah mereka sendiri juga memberi ceramah politik didalam masjid termasuk mencipta fitnah dan mengutuk kerajaan yang membina masjid tersebut.

Sebenarnya orang Islam sendiri yang memberi kelonggaran dan ruang untuk orang bukan Islam mengambil kesempatan diatas kelemahan dan ketidak sepakatan mereka didalam meningkatkan syiar Islam itu sendiri.

Mereka tidak menjadikan Islam itu sebagai Ad’din yang perlu dipatuhi, ia ini satu cara hidup yang memiliki sistem serta peraturan yang menyeluruh dan lengkap dalam semua urusan hidup manusia untuk diamalkan, bukannya mengikut telunjuk kepada kepartian dan berpolitik.

Kini bukan sahaja di negara luar malahan Malaysia sendiri menerima tempias penghinaan beragama kerana Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam yang penduduknya mengamalkan cara hidup Islam, tetapi telah dirosakkan oleh segelintir mereka yang mengunakan agama Islam sebagai jalan mempengaruhi politik mereka.

Islam tidak hanya sekadar agama, tapi juga suatu cara hidup, suatu sistem, pedoman, dan juga peraturan-peraturan yang menyeluruh, Islam adalah Ad Din yang telah diwahyukan Allah kepada Rasulullah S.A.W sebagai rahmat bagi seluruh semesta alam.

Ia adalah satu kepatuhan yang berintikan kepada dua hal, iaitu iman dan amal, Iman merupakan aqidah atau pokok, dan di atasnya berdiri syariat Islam, jika orang Islam sendiri tidak tahu meletakkan kepatuhan dan peraturan maka jangan kita salahkan bangsa lain sebagai mempersendakan agama Islam dibumi Malaysia ini.