Hukuman paling berat perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dengan kegiatan buli di sekolah atau kolej bagi mengelakkan perbuatan itu terus berulang pada masa depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya kecewa dan sedih kerana perbuatan buli masih berlaku biarpun beberapa kes didedahkan dan pelbagai usaha dilakukan bagi menangani masalah tersebut.

“Kita kena ambil tindakan paling keras terhadap pembuli. Tidak boleh hanya gantung 10 hari, buang sahaja dari sekolah, walaupun ada yang kata kasihan dan risau masa depan pembuli menjadi gelap.

“Para ibu bapa pembuli pula perlu menerima hakikat bahawa anak mereka telah melakukan kesalahan serius dan dikenakan hukuman paling berat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakab Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di sini hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi kelmarin, dua pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu di Kuala Nerus, Terengganu cedera dibelasah pelajar senior sehingga salah seorang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Susulan kejadian itu, 15 pelajar direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes buli di sekolah berkenaan.