Himpunan aman bagi mendesak tindakan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan diadakan pada 22 Februari ini di hadapan Ibu Pejabat ROS di sini.

Bekas Exco Pemuda PPBM, Muhammad Hafiz Azhar berkata, himpunan tersebut akan tetap diteruskan berikutan masih belum ada sebarang tindakan terhadap PPBM yang secara terang-terangan melanggar perlembagaan parti itu sendiri.

“Macam mana pun kami tetap bertegas dan saya menyeru semua yang telah membuat laporan di seluruh negara dan yang menerima nasib yang sama untuk kita sama-sama turun ke perhimpunan ini bagi menyatakan desakan kita kepada ROS,” katanya di perkarangan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hafiz, permohonan permit untuk mengadakan himpunan aman berkenaan telah dikemukakan kepada pihak polis dan kini dalam proses menunggu maklum balas permohonan berkenaan.