Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi merai dan menghargai sumbangan setiap etnik di negara ini.

Perdana menteri melalui ucapan video yang dimuat naik di laman Twitter dan Facebook berkata sumbangan golongan petani tidak harus dilupakan kerana mereka bekerja keras untuk mengeluarkan hasil yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai disambut pada 30 dan 31 Mei oleh masyarakat Kadazandusun sebagai meraikan tuaian yang baik dan turut disambut kaum-kaum lain di Sabah.

Hari Gawai pula disambut masyarakat keturunan Dayak daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Kenyah sebagai tanda berakhirnya musim menuai yang disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.

“Justeru pada Hari Gawai dan Kaamatan ini saya ingin mengajak kita semua menyambut perayaan ini dan ini menandakan sumbangan setiap kumpulan etnik di dalam negara kita tetap dihargai.

“Selamat menyambut Hari Gawai dan Hari Kaamatan. Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan Gayu Guru Gerai Nyamai,” kata Najib dalam video berdurasi kira-kira seminit itu.