Isu graduan tiada pekerjaan tetap mendapat perhatian Quick Ride Sdn Bhd (Quick Ride) dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pemandu Uber di sekitar Lembah Klang.

Lebih menarik, mereka tidak perlu memiliki kenderaan untuk menjadi pemandu Uber menerusi Quick Ride kerana sebanyak 1,000 PROTON Saga dan PROTON Persona disediakan secara sewaan kepada pemohon yang layak.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Pelaburan Amanah Bhd (KAPB), Datuk Ilyas Mohamed, berkata peluang itu disasarkan khusus kepada graduan dan juga orang ramai yang tiada pekerjaan untuk mencari pendapatan.

Katanya, individu yang mempunyai pekerjaan tetap dan ingin mencari pendapatan sampingan, turut dialu-alukan untuk memohon.

“Quick Ride yang ditubuhkan hasil kerjasama antara Cartrade Group dan KAPB akan menjadi syarikat pengendali dalam penyewaan kereta baharu daripada PROTON kepada pemohon yang layak.

“Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Uber yang akan bertanggungjawab menilai permohonan bagi menentukan individu yang layak menjadi pemandu Uber menerusi tawaran ini.

“Kami menyasarkan 1,000 pemohon sehingga awal Januari depan dan jumlah kenderaan untuk kegunaan ini dijangka bertambah kepada 10,000 unit dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Quick Ride dengan Uber dan Quick Ride dengan PROTON Holdings Bhd (PROTON) di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Quick Ride, Mohamed Fahmi Ilyas; CEO PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan Pengurus Besar Pengembangan Uber, Karina Ali Noor.

Mohamed Fahmi berkata, pemohon yang layak akan diberi pilihan sama ada menyewa PROTON Saga yang perlu dibayar RM45 sehari atau PROTON Persona dengan harga RM55 sehari.

“Pemandu hanya perlu memberi tumpuan dalam memberi perkhidmatan terbaik kerana segala urusan berkaitan kereta seperti bayaran cukai jalan, insurans dan servis akan diuruskan oleh Quick Ride.

“Ini bermakna, pemandu hanya perlu membayar sewa kereta yang dipilih secara mingguan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima hampir 400 permohonan termasuk 40 sudah diluluskan.

“Keputusan sama ada pemohon layak atau tidak dibuat secara bersama antara Quick Ride dan Uber. Menerusi tawaran ini, pemandu perlu komited dan aktif sekurang-kurangnya 30 jam seminggu. Kereta yang disewa perlu dipulangkan kepada Quick Ride dalam tempoh tiga tahun sebelum ditukarkan dengan kereta baharu.

“Individu yang gagal menepati syarat seperti ingin berhenti sebelum tempoh tiga tahun akan dikenakan denda,” katanya.

Sementara itu, Karina berkata, kereta yang disediakan Quick Ride turut menawarkan keselesaan kepada pengguna seperti penyediaan Wifi serta tablet di tempat duduk belakang.

“Perkhidmatan yang disediakan Quick Ride ini boleh didapati dalam aplikasi Uber menerusi pilihan UberX,” katanya.

Orang ramai berminat perlu mengisi borang dengan melayari web rasmi Quick Ride di www.quickride.my.

Info Syarat permohonan.

  • Rakyat Malaysia
  • Berusia 21 tahun ke atas
  • Mempunyai lesen memandu
  • Tiada rekod jenayah atau muflis
  • Tiada masalah kesihatan mental