KUALA LUMPUR, 5 Dis  — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO melakukan gerak kerja secara holistik dalam usaha Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14. 

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata BN meletakkan matlamat besar untuk bukan sahaja memenangi PRU14 bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah melalui Sistem First-Past-The-Post, sebaliknya memperoleh penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti yang jauh lebih besar. 

“Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada BN bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab. 

“Tidak boleh tidak, kita wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang telah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus “retain and regain” (kekalkan dan merampas semula) semua kerusi yang kita sasarkan, katanya. 

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Sayap-sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017. 

Justeru itu, Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN perlu mempertahankan habis-habisan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan pusat, daripada terjatuh ke tangan pihak lawan. 

“UMNO tidak boleh kalah! BN tidak boleh tewas! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional,” katanya. 

Kali terakhir BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga adalah pada pilihan raya umum 2004 dan gagal mempertahankannya pada pilihan raya umum 2008 dan 2013. 

Ahmad Zahid turut menekankan perlunya anggota UMNO memiliki mentaliti mahu menang dengan berbekalkan semangat keyakinan dan tindakan. 

Untuk mencapai kemenangan itu, katanya, kepentingan parti harus diutamakan dan mana-mana individu yang tidak dicalonkan pada PRU14 perlu berlapang dada serta tidak melakukan sesuatu yang boleh melumpuhkan gerak kerja parti. 

Jauhilah sikap buruk seperti mencari ‘personal glory’ (kemegahan peribadi). Kita berjuang demi parti…dan perlu melangkah sebagai satu pasukan mantap,” kata Ahmad Zahid sambil memberikan analogi permainan sepak takraw yang memerlukan tekong, tukang lambung dan tukang libas untuk bergerak sebagai satu pasukan. 

Beliau turut menggambarkan aspek yang perlu dimilik oleh calon UMNO iaitu berwibawa dinamik dan kematangan disulami aspek ‘winable’ (mampu menang), ‘likeable’ (disukai), ‘capable’ (berkemampuan), ‘trustable’ (boleh dipercayai) dan ‘intelligent’ (bijak). 

Ahmad Zahid turut melahirkan harapan kepada ketiga-tiga sayap UMNO tersebut dalam menuju medan perjuangan PRU14. 

Beliau mahu sayap Wanita, dengan berbekalkan pendekatan ‘hightouch’ atau bersemuka, supaya turun mengetuk pintu hati rakyat dan bukan sekadar mengetuk pintu rumah. 

Bagi sayap Pemuda, Ahmad Zahid menyampaikan amanatnya: “Jejaklah setiap desa dan ceruk rantau. Bersemukalah dengan rakyat agar mereka dapat diperjelaskan dan tidak terus terperangkap oleh percaturan politik tempang pembangkang.” 

Buat pergerakan Puteri, beliau meminta mereka mendampingi akar umbi terutamanya wanita muda untuk menarik sokongan terhadap parti dan BN. 

Menurutnya jentera pilihan raya UMNO perlu bergerak tanpa sebarang alasan sebaik sahaja presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak membunyikan semboyan. 

Ahmad Zahid turut menggariskan tujuh manifesto bangsa yang diperjuangkan oleh UMNO dari dahulu hingga sekarang dan di masa akan datang, sekaligus menjadi formula untuk UMNO terus kekal unggul di persada politik negara serta boleh dijadikan penanda aras oleh rakyat. 

“Sesungguhnya, UMNO tidak mengamalkan agenda sempit dan tidak hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata. UMNO mengamalkan politik keterangkuman dan malah UMNO adalah wadah perjuangan dan seluruh rakyat dari berbilang kaum. 

Dalam bidang ekonomi pula, beliau berkata UMNO terus memperjuang kesejahteraan ekonomi negara demi faedah rakyat keseluruhannya. 

Ahmad Zahid turut memberitahu bahawa persekolahan digital akan diwujudkan di bawah lembayung pengangkasaan pendidikan bagi mendedahkan warga masa depan untuk memperolehi ilmu yang sesuai pada zamannya dalam menghadapi kebangkitan era digital. 

Selain itu, katanya, keselamatan negara dan ketenteraman awam akan terus diperjuangkan oleh UMNO demi keharmonian seluruh masyarakat. 

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri juga berkongsi usaha-usaha UMNO selama ini dalam mempertahankan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan peranan mengangkat martabat negara di persada antarabangsa. 

Mengakhiri ucapannya di hadapan 2,978 anggota perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu bagi membolehkan UMNO terus berdiri gah memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini. 

— BERNAMA