Fitnah SPR ‘darah daging’ pembangkang

KUALA LUMPUR 20 Mac – Apabila tibanya musim pilihan raya, modal politik untuk melemparkan fitnah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah telah menjadi ‘darah daging’ Pakatan Harapan diketuai DAP.


MAZLAN

Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini, skrip yang sama mula dimainkan gabungan pakatan pembangkang itu apabila mempersoalkan kredibiliti SPR apabila kononnya ‘mendengar’ taklimat bahawa beberapa peraturan dalam pilihan raya bakal diubah.

Pakatan Harapan membangkitkan dua isu iaitu ‘perubahan’ peraturan melibatkan senarai ejen pusat mengundi dan pengiraan undi yang harus dihantar pada hari penamaan calon serta pengiraan undi bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat serentak yang berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

Walaupun mengakui tiada bukti kukuh atau ‘hitam putih’ mengenai perubahan peraturan tersebut, pakatan pembangkang dilihat sengaja menimbulkan perkara yang tiada apabila mengatakan akan menghantar surat bantahan secara rasmi kepada SPR.

Panel Perunding Politik Demokrasi Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Mazlan Ali berkata, dalam suasana politik yang kian hangat menjelang PRU-14 ketika ini, Pakatan Harapan sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak ‘membakar’ sesuatu sentimen yang boleh menyebabkan kekeliruan rakyat.

Jelas beliau, Pakatan Harapan juga wajar menjadi lebih bertanggungjawab dan memberikan kerjasama kepada SPR, bukan memberi lebih tekanan kepada agensi tersebut.

“Apa sahaja peraturan yang digubal atau diubah, SPR akan membuat pemberitahuan kepada semua parti politik. Jika sesuatu perkara itu belum lagi sah, janganlah pula digembar-gemburkan seolah-olah sudah rasmi.

“Sekiranya benar pun SPR akan berbuat demikian, saya percaya itu adalah untuk kepentingan bersama, mungkin jika tak diubah peraturan baharu, ada kemungkinan proses pengundian tidak akan habis dalam masa sehari,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi SPR, Pakatan Harapan dilihat cuba membangkitkan isu mengenai ejen di pusat mengundi dan pusat kiraan undi serta pengiraan serentak dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.