Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan enam individu termasuk seorang kakitangan institusi kewangan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM50,000 sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi seorang guru lelaki.

Menurut sumber, empat daripada mereka iaitu tiga lelaki dan seorang wanita, ditahan dua hari lepas di Rompin, Pahang dan Permas Jaya di sini, kerana dipercayai terlibat dengan permintaan wang rasuah tersebut.

Mereka kini direman tujuh hari sehingga 15 Ogos ini, kata sumber itu.

Sumber itu berkata dua lagi iaitu kedua-duanya wanita, ditahan semalam di sebuah rumah di Permas Jaya di sini dengan seorang daripada mereka bertugas sebagai penasihat kewangan di sebuah institusi kewangan di Skudai.

Kedua-dua mereka dibenarkan direman selama lima hari bermula hari ini.